Agenda perpaduan rakyat jadi cabaran parti baharu berteraskan kaum - Penganalisis
Harits Asyraf Hasnan
Ogos 11, 2016 18:07 MYT
Ogos 11, 2016 18:07 MYT
Parti politik baharu berteraskan kaum berdepan cabaran untuk meyakinkan pengundi menerusi agenda perpaduan rakyat yang dibawa.
Penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Madya Dr Fuad Othman berkata pengundi, terutama golongan muda yang tidak melihat bangsa dan agama sebagai teras parti, mungkin tidak berminat kepada parti berkenaan.
"Saya kira kalau untuk jangka panjang daripada segi aspek kesepaduan dan kesatuan untuk Malaysia, mungkin para pengundi ataupun rakyat akan melihat adakah ia boleh menyumbang kepada konsep kesepaduan, perpaduan dan sebagainya.
"Mungkin kepada pengundi-pengundi baharu khususnya, ada pengundi baharu yang tidak melihat parti ini berada pada garis panduan agama dan bangsa, sebagai contoh.
"Jadi, daripada segi aspek itu mungkin parti ini tidak menarik kepada pengundi ataupun rakyat sedemikian," katanya ketika dihubungi Astro AWANI, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) oleh bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Selasa.
Bagaimanapun, katanya parti baharu berteraskan kaum juga dilihat menjadi alternatif kepada para pengundi yang masih berpegang kepada konsep bangsa dan agama.
"Tetapi kepada rakyat yang masih berpegang kepada konsep bangsa dan agama, mungkin ia boleh menjadi alternatif kepada parti-parti yang ada sekarang ini.
"Mungkin ada pihak lain yang tidak bersetuju dengan UMNO dan inginkan parti yang hampir mirip dengan UMNO, jadi mereka akan memberi sokongan kepada parti Bersatu," jelas beliau.
Namun ujarnya, latar belakang mereka yang memimpin Bersatu menjadi antara faktor penarik kepada para pengundi.