Agenda belum selesai, Abdul Rahman Dahlan mahu kembali ke Kota Belud

Abdul Hafiz Mustadi
Oktober 14, 2022 15:25 MYT
Abdul Rahman Dahlan yang diarah bertanding di Parlimen Sepanggar dalam PRU14 tewas kepada Datuk Mohd Azis Jamman (Warisan) dengan majoriti 12,984 undi. - Astro AWANI
KOTA KINABALU: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri,Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan sekali lagi menawarkan diri untuk bertanding di kerusi Parlimen Kota Belud.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu mengesahkan namanya tersenarai antara lima calon yang sedang diperhalusi oleh kepimpinan tertinggi UMNO untuk bertanding di parlimen berkenaan.
"Saya ingin berkhidmat untuk Kota Belud lagi. Saya masih banyak lagi perancangan di sana.
"Daripada cadangan bahagian Kota Belud, mereka memasukkan nama saya sebagai salah seorang daripada lima nama yang telah dicadangkan kepada kepimpinan tertinggi UMNO.
"Tanda pagar saya ialah #SambungYangTergendala dan kalau diberikan peluang oleh parti saya ingin kembali ke Kota Belud untuk memberikan perkhidmatan kepada rakyat di daerah itu", ujarnya
Tambah Abdul Rahman, beliau menyimpan hasrat untuk membangunkan industri minyak dan gas di daerah itu selain berkata Kota Belud mempunyai potensi yang cukup besar dalam pelbagai aspek terutamanya dalam konteks pendidikan dan pertanian.
"Agenda saya di Kota Belud belum selesai lagi. Kota Belud ini mempunyai potensi yang cukup besar dari segi pendidikan, dari segi minyak and gas, pertanian.
"Tetapi satu agenda besar yang saya ingin bawa ke Kota Belud ialah industri minyak dan gas. Kita ada pelabuhan yang tidak digunakan, tidak dihargai iaitu Pelabuhan Usukan.
Terlalu banyak potensi (Kota Belud). Jadi sepanjang saya menjadi ahli parlimen di situ, politeknik sudah kita selesaikan", tambahnya.
Walau bagaimanapun, menurut Rahman keputusan mengenai calon yang akan bertanding di P.169 Kota Belud terletak di tangan parti selain berkata beliau bersedia sekiranya diberi peluang menggalas tanggungjawab tersebut.
"Kalau diberi peluang oleh kepimpinan parti, saya ingin menawarkan diri di Kota Belud.
"Tetapi semuanya ini terpulang kepada kepimpinan parti untuk menentukan", tambah Rahman.
Pada masa yang sama, desas desus mengenai kemunculan semula Datuk Seri Mohd Salleh Said Keruak mewakili BN juga turut berlegar di kalangan penduduk Kota Belud pada ketika ini.
Untuk rekod, Rahman pernah memenangi kerusi P.169 Kota Belud pada PRU-12 dan PRU-13 sebelum diarahkan bertanding di Parlimen P.171 Sepanggar oleh kepimpinan tertinggi UMNO.
Walau bagaimanapun, bekas Ahli Parlimen Kota Belud itu tewas pada PRU-14 selepas bersaing dengan Datuk Mohd Azis Jamman (Warisan) dengan kelebihan majoriti berpihak kepada Azis sebanyak 12,984 undi.
#Abdul Rahman Dahlan #UMNO #Kota Belud #Salleh Said Keruak #Datuk Mohd Azis Jamman
;