ADUN UMNO secara konsensus namakan Saarani, henti spekulasi - Shahrul Zaman

Harits Asyraf Hasnan
Disember 7, 2020 12:44 MYT
Semua ADUN UMNO, Barisan Nasional secara konsensus mencalonkan Datuk Saarani Mohamad, Pengerusi Perhubungan UMNO Perak sebagai Menteri Besar, kata Shahrul Zaman Yahya. - Gambar fail
IPOH: Kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO di Perak secara konsensus menamakan ADUN Kota Tampan, Datuk Saarani Mohamad sebagai calon Menteri Besar Perak yang baharu.
ADUN Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya memaklumkan perkara tersebut menerusi muat naik status di media sosial beliau.
Dalam masa sama, Shahrul Zaman berharap tidak ada mana-mana pihak membuat sebarang spekulasi yang turut mengaitkan nama beliau sebagai calon Menteri Besar Perak.
“Kami semua ADUN UMNO, Barisan Nasional telah secara konsensus mencalonkan Datuk Saarani Mohamad, Pengerusi Perhubungan UMNO Perak sebagai Menteri Besar Perak.
“Saya mohon untuk kita semua tidak membuat apa-apa spekulasi lagi dan kita serahkan kepada kebijaksanaan DYMM Paduka Seri Sultan Perak untuk mempertimbangkan siapa yang mempunyai majoriti mudah untuk dipilih menjadi Menteri Besar Perak, InsyaAllah,” katanya dengan memetik hantaran di akaun media sosialnya itu.
Ikuti perkembangan terkini politik Perak di sini
Shahrul Zaman antara nama yang disebut sebelum ini sebagai calon Menteri Besar Perak dari UMNO selain Saarani dan ADUN Pangkor, Datuk Seri Zambry Abd Kadir.
Antara nama yang disebut sekiranya kerajaan campuran terbentuk adalah Ketua Pembangkang yang juga Naib Pengerusi DAP Perak dan ADUN Tebing Tinggi, Dr Abdul Aziz Bari, namun tiada pengesahan mengenai perkara itu.
Sebelum ini, ketika penjajaran semula kerajaan negeri itu Februari lalu, UMNO negeri mempersembahkan nama Saarani kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Saarani yang menggalas portfolio Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna itu merupakan ahli politik berpengalaman dan pernah berada dalam pentadbiran kerajaan negeri di bawah dua Menteri Besar iaitu Tan Sri Tajul Rosli Ghazali dan Zambry sebelum ini.
Manakala Shahrul Zaman yang memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor pula merupakan bekas Penolong Setiausaha Pergerakan Pemuda Umno Malaysia satu ketika dulu.
Beliau dikatakan mampu menggalas tugas Menteri Besar berdasarkan pengalamannya di dalam politik serta parti.
Selain itu, Dr Abdul Aziz Bari juga antara yang tersenarai sebagai calon Menteri Besar sekiranya kerajaan campuran antara Umno dan DAP terbentuk di Perak.
Perak mempunyai 59 Adun yang terdiri daripada 25 ADUN Barisan Nasional, Bersatu (5), Pas (3), DAP (16), PKR (3), Amanah (5), Gerakan (1) dan Bebas (1).
#politik perak #kemelut politik #Perak #Menteri Besar #Saarani Mohamad #Shahrul Zaman Yahya #Zambry Abd Kadir #Dr Abdul Aziz Bari #Sultan Perak #UMNO
;