ADUN Tanjung Bungah dipancing parti lain
Bernama
Oktober 31, 2017 21:19 MYT
Oktober 31, 2017 21:19 MYT
Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) selama dua penggal Teh Yee Cheu daripada DAP yang telah menyatakan hasrat untuk keluar parti apabila Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dibubarkan untuk pilihan raya umum, berkata beliau telah dipancing parti lain.
Teh, ADUN Tanjung Bungah, berkata beliau telah ditawarkan oleh Malaysian United Party dan Penang Front Party untuk menyertai mereka tetapi masih belum membuat keputusan.
"Ketika ini saya masih berkhidmat sebagai wakil rakyat DAP dan tidak sesuai untuk saya umumkannya sekarang. Saya akan buat keputusan sebaik sahaja DUN dibubarkan.
"Buat masa ini saya masih berkhidmat kepada rakyat sebagai wakil rakyat DAP kerana saya dipilih atas tiket parti dan saya akan keluar parti selepas DUN dibubarkan untuk pilihan raya umum ke-14," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Teh telah bertelagah dengan pemimpin parti sejak beberapa tahun kebelakangan ini, khususnya tentang pembangunan di lereng bukit, tebus guna tanah dan isu alam sekitar lain dengan kejadian terbaru tanah runruh di kawasan diwakilinya pada 21 Okt yang meragut 11 nyawa menjadi "kemuncak perbalahan" bagi dirinya.
Teh yang menyertai DAP pada 2000 berkata beliau akan terus memperjuangkan nasib golongan minoriti demi keadilan sosial untuk rakyat.
-- BERNAMA
#ADUN
#Anggota Dewan Undangan Negeri
#DAP
#Dewan Undangan Negeri
#parti
#pilihan raya umum
#pulau pinang
#Teh Yee Cheu