ADUN Selat Klang isytihar sokongan kepada kerajaan negeri Selangor

Astro Awani
Mac 6, 2024 15:23 MYT
Abdul Rashid berkata sokongannya kepada MB Selangor dan kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan itu dibuat secara sukarela. -Gambar fail/Facebook PPBM
KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari pada Rabu menzahirkan sokongannya kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Dalam satu kenyataan, anggota Bersatu itu berkata sokongannya terhadap kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan (PH) dibuat secara sukarela, dan beliau akan tetap komited kepada parti.
"Keputusan itu dibuat dengan rela hati tanpa sebarang paksaan selepas saya meneliti titah ucapan DYMM Sultan Selangor yang memuji pentadbiran negeri Selangor yang berada di landasan yang tepat demi kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat.
"Langkah ini juga adalah hasil siri tindakan Perikatan Nasional (PN), khususnya PN Selangor yang dilihat berdiam diri terhadap tohmahan yang dilontarkan terhadap raja-raja Melayu.
“Ini bercanggah dengan prinsip Melayu-Islam,” tambah bekas ketua Bersatu Selangor itu.
Tambahnya, beliau tetap komited dengan Bersatu tetapi percaya sokongannya terhadap kerajaan negeri akan memberi manfaat kepada penduduk Selat Klang.
Rashid pertama kali dipilih sebagai ADUN Selat Klang pada 2018, ketika Bersatu menjadi komponen gabungan PH.
Beliau mempertahankan kerusinya pada pilihan raya negeri tahun lepas, dengan majoriti kukuh 42,703 undi mengatasi calon UMNO, Roslee Abd Hamid.
#Abdul Rashid Asari #Bersatu #adun selat klang #nyata sokongan #MB Selangor
;