Adun Rembia dakwa PH Melaka tawar jawatan Ketua Menteri

Fareez Azman
Mac 5, 2020 19:33 MYT
Tambah Muhammad Jailani, beliau tidak mahu mendedahkan nama pemimpin terbabit kerana tidak mahu mengaibkan pihak itu, namun beliau boleh menunjukkan bukti jika terpaksa. - Foto Astro AWANI
Adun Rembia dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menyokong Perikatan Nasional Datuk Muhammad Jailani Khamis hari ini mendakwa ada individu daripada Pakatan Harapan (PH) menawarkannya jawatan Ketua Menteri Melaka.
Jailani berkata, tawaran itu dibuat menerusi panggilan telefon dan aplikasi Whatsapp.
"Saya ditawarkan jawatan Ketua Menteri, saya tidak mahu sebut tetapi kalau dipaksa, saya akan dedahkan. Mereka ajak kalau saya masuk balik PH, saya akan ditawarkan jawatan Ketua Menteri.
"Sebelum ini, saya pun tarik diri daripada dicalonkan sebagai Ketua Menteri, saya buat perjuangan ini bukan untuk menjadi Ketua Menteri. Jadi kalau nak 'gula-gulakan' saya jadi Ketua Menteri, tidak perlulah. Kalau tawarkan jawatan Perdana Menteri pun, saya tidak mahu," katanya sewaktu sidang media di sini hari ini.
Tegasnya, pendirian bersama Perikatan Nasional itu bagi memastikan tertubuhnya kerajaan negeri yang boleh menjalankan amanat kepada rakyat, dan bukan sebaliknya, kerajaan yang hanya beretorik.
"Jangan retoriklah, cukup-cukuplah retorik. Kita nak bentuk satu kerajaan yang benar-benar functional boleh berfungsi dan betul-betul buat. Jangan kita seorang yang meraung pikul (tanggungjawab) tetapi yang lain 'makan kacang makin gemuk'," kata Muhammad Jailani lagi.
Tambah Muhammad Jailani, beliau tidak mahu mendedahkan nama pemimpin terbabit kerana tidak mahu mengaibkan pihak itu, namun beliau boleh menunjukkan bukti jika terpaksa.
Nama Ketua Menteri Melaka ke-12 dijangka akan diumumkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka sedikit masa nanti.
#ADUN #Adun Rembia #kerajaan #Ketua Menteri #Malaysia2020 #Muhammad Jailani Khamis #Pakatan Harapan #Parti Keadilan Rakyat #Perdana Menteri #PKR
;