‘ADUN Rembia, boleh mula kumpul tin bayar denda UMNO RM100 juta’ - Akmal Saleh

Shuhada Abdul Kadir
Julai 18, 2024 10:48 MYT
Muhamad Akmal bercakap kepada media selepas menutup Sambutan Hari Zoonosis Sedunia peringkat negeri di Zoo Melaka, pada Khamis. - Foto Astro AWANI
AYER KEROH: Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh mengingatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis untuk bersedia membayar RM100 juta kepada UMNO sebagai ‘balasan’ menyertai parti lain.
Ini kerana jelasnya, semua ADUN Barisan Nasional (BN) di Melaka telah menandatangani perjanjian dan aku janji untuk membayar jumlah denda berkenaan pada pilihan raya negeri yang lalu, sekiranya mengkhianati perjuangan parti.
"Dia kena ingat masa PRN lalu semua ADUN BN dalam negeri Melaka ada tandatangan perjanjian antaranya kalau kita lompat parti boleh didakwa dan kena dengan RM100 juta.
"Maka YB Jai carilah 'tin Milo' banyak-banyak. Saya minta dia untuk bayar balik kepada UMNO RM100 juta sebab kamu menang atas parti UMNO tetapi kamu melompat.
Muhamad Akmal yang juga Exco Kemajuan Desa, Pertanian Dan Keterjaminan Makanan Negeri berkata demikian selepas menutup Sambutan Hari Zoonosis Sedunia peringkat negeri di Zoo Melaka, pada Khamis.
Pada Selasa, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengumumkan Muhammad Jailani yang sebelum ini digantung keahlian dalam UMNO sah menyertai Pas.
Katanya, kemasukan Muhamad Jailani ke parti itu berkuat kuasa Jun tahun lalu sebelum DUN Melaka meluluskan Akta Antilompat Parti yang dinamakan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Negeri Melaka (pindaan) 2023 pada 31 Julai 2023.
UMNO tahun lalu dilapor menggantung keahlian Muhamad Jailani selama enam tahun kerana didakwa melakukan sabotaj terhadap parti kerana dengan sengaja hadir pada majlis pengumuman calon PN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram di Bakri, Johor.
Pada Mac 2020 lalu, Muhammad Jailani antara empat wakil rakyat PH di Melaka yang bertindak menyokong gabungan PN selepas mendakwa hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan Ketua Menteri Melaka ketika itu, Adly Zahari sehingga kerajaan PH Melaka tumbang.
Beliau kemudiannya dikatakan dipecat PKR sebelum mengumumkan menyertai UMNO bagi membolehkannya dipilih bertanding semula mewakili BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 20 November 2021.
Dalam pada itu, Muhamad Akmal yang juga ADUN Merlimau, menolak dakwaan Jailani kononnya UMNO menang besar pada PRN lalu disebabkan tindakan beliau menarik sokongan terhadap pentadbiran PH ketika itu.
Sebalik katanya, beliau lebih terbuka untuk PRK diadakan di kawasan berkenaan selain secara sinis turut mengucapkan tahniah kepada parti Pas kerana menerima wakil rakyat yang mempunyai rekod ‘melompat’ parti.
#Muhamad Akmal Saleh #Adun Rembia #Muhammad Jailani Khamis #denda RM100 juta #UMNO