Adun PN Perak komited terus sokong Menteri Besar UMNO

Abd Razak Mohd Ali
Julai 9, 2021 16:50 MYT
Ahmad Faizal berkata komitmen itu tidak berubah walaupun UMNO sudah membuat keputusan untuk menarik sokongan terhadap Perdana Menteri. - Gambar fail
TAPAH: Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Perikatan Nasional (PN) Perak akan terus menyokong Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad dan kekal dengan pendirian untuk bekerjasama.
Pengerusi PN Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata komitmen itu tidak berubah walaupun UMNO sudah membuat keputusan untuk menarik sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Katanya Adun PN akan terus berpegang kepada janji untuk memberi sokongan kepada Saarani yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak.
"Saya ingin menyatakan komitmen daripada semua Adun Pas dan Bersatu untuk terus mendokong kerajaan yang dipimpin oleh Datuk Saarani dan kami akan terus membantu beliau memberi fokus kepada usaha untuk membantu rakyat di waktu yang semakin sukar sekarang ni," katanya.
Ahmad Faizal mengulas kedudukan pentadbiran kerajaan negeri susulan tindakan UMNO menarik sokongan terhadap Muhyiddin.
Beliau yang juga Adun Chenderiang ditemui media semasa meninjau program ‘outreach’ vaksinasi di Kampung Sungai Lah, di sini, pada Jumaat.
Dalam pada itu, beliau yang juga Pengerusi Bersatu Perak berkata, sehingga kini tiada sebarang perbincangan dilakukan antara PN dan UMNO Perak berhubung kemelut yang berlaku di peringkat Pusat itu.
BACA: UMNO tarik balik sokongan terhadap Muhyiddin serta-merta - Zahid Hamidi
BACA: MKT UMNO cadang PM baharu ganti Muhyiddin, berfungsi 6 hingga 12 bulan - Asyraf Wajdi
Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, mengumumkan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti mengambil keputusan untuk menarik balik dan menamatkan sokongan terhadap Muhyiddin serta-merta.
Menurut Ahmad Zahid, segala panduan utama yang digariskan oleh UMNO sebagai syarat sokongan terhadap Muhyiddin sebelum ini telah gagal dipenuhi dan dilaksanakan dengan memuaskan.
Keputusan MKT UMNO | UMNO desak Tan Sri Muhyiddin Yassin undur sebagai Perdana Menteri
#UMNO #Bersatu #Adun PN Perak #sokong MB #Menteri Besar Perak #Saarani Mohamad #Faizal Azumu #Muhyiddin Yassin #Zahid Hamidi #MKT UMNO
;