ADUN pembangkang Sabah bukan lagi bersama BN
Ruzaini Zulkepli
Jun 12, 2018 17:29 MYT
Jun 12, 2018 17:29 MYT
Semua Ahli Dewan Undangan Negeri pembangkang di Sabah yang mengangkat sumpah hari ini tidak lagi menjadi wakil rakyat dari Barisan Nasional (BN) kecuali UMNO.
Menurut Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Johnny Mositun, ADUN tersebut telah memenangi kerusi masing-masing dari Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sudah mengambil keputusan untuk meninggalkan BN.
Johnny yang juga Bekas Timbalan Speaker Dewan Undangan Sabah turut berkata, perkara itu sudah dijelaskan dalam satu sidang media bersama Presiden PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan di pejabat mereka di Donggongon, Penampang, pada 12 Mei lalu.
Selain PBS, parti komponen lain termasuk UPKO dan PBRS sudah pun menyuarakan pendirian mereka dengan bertindak keluar BN seperti mana dilaporkan dalam media tempatan, baru-baru ini.
"Saya hanya menyuarakan semula apa yang diumumkan oleh pucuk pimpinan sebelum ini seperti PBS di mana Presiden, Tan Sri Pairin sudah mengisytiharkan keluar BN dan mahu menubuhkan Gabungan Bersatu dalam satu sidang media di Donggongon pada bulan Mei lalu," katanya ketika dihubungi di sin hari ini.
Johnny berkata, apa dilaporkan dalam temuramahnya bersama pengamal media tempatan di bangunan Dewan Undangan Negeri hari ini, hanyalah untuk mengulangi semula kenyataan pucuk pimpinan mengenai pendirian mereka terhadap lanskap politik di negeri Sabah.
Menurut beliau, dalam laporan sidang media Pairin dan pucuk pimpinan pada 12 Mei lalu sudah mengisytiharkan bahawa PBS bertindak meninggalkan BN untuk membentuk gabungan pemerintahan dalam 'Gabungan Bersatu' iaitu gabungan pemerintahan antara PBS dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).
Kecuali UMNO yang masih bersama BN, Datuk Bobby Suan (UPKO) dan Datuk Elron Angin (PBRS) yang turut hadir dalam upacara angkat sumpah sebagai ADUN pada hari ini hanya mewakili parti masing-masing sahaja.
Untuk PBS pula, enam ADUN mereka yang terdiri daripada wakil rakyat Kundasang, Matunggong, Tandek, Kiulu, Tamparuli dan Labuk.
Terdahulu, dalam upacara menganagkat sumpah yang diadakan secara tertutup, seramai 19 daripada 21 ADUN pembangkang mengangkat sumpah di hadapan Speaker DUN Datuk Syed Abbas Syed Ali di Dewan DUN Sabah pada 10 pagi tadi.
Bagaimanapun, ADUN Sungai Sibuga dan juga Bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman dan ADUN Apas, Datuk Nizam Titingan tidak hadir dalam upacara tersebut.
Semalam, kesemua ADUN pembangkang itu tidak hadir untuk upacara mengangkat sumpah kerana memboikot tindakan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang disifatkan mereka tidak mengikut perlembagaan negeri.
#Barisan Nasional
#Bobby Suan
#Elron Angin
#Johnny Mositun
#Joseph Pairin Ketingan
#Mohd Shafie Apdal
#Musa Aman
#Parti Bersatu Rakyat Sabah
#Parti Bersatu Sabah
#Parti Solidariti Tanah Airku
#PBRS
#PBS
#Penampang
#Pilihan Raya Umum ke-14
#PRU14
#STAR
#UMNO