ADUN pembangkang mohon adakan sidang DUN Johor

Bernama
Mac 31, 2021 17:44 MYT
Cai Tung berkata satu surat permohonan akan dihantar kepada Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad mengenai cadangan itu. - Foto FB/Liow Cai Tung
JOHOR BAHRU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang di Johor memohon agar kerajaan negeri mempertimbang untuk mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) alternatif bagi memberi platform kepada wakil rakyat membincangkan isu rakyat walaupun berada dalam darurat.
ADUN Johor Jaya Liow Cai Tung berkata satu surat permohonan akan dihantar kepada Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad mengenai cadangan itu.
"Dengan ini (sidang DUN alternatif), ADUN-ADUN boleh menjalankan tugas semak dan imbang. Saya menyeru pihak kerajaan negeri supaya mempertimbangkan perkara ini," katanya kepada pemberita di Pasir Gudang, di sini, hari ini.
Liow berkata memandangkan kesemua 56 ADUN Johor telah menerima vaksin COVID-19, sidang DUN alternatif boleh dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
Sidang DUN Johor sebelum ini dijadual diadakan awal bulan ini.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi PKR Johor Jimmy Puah Wee Tse turut bersetuju dengan cadangan itu dan berkata: "Saya rasa itu satu cadangan (sidang DUN alternatif) yang baik. Saya akan cadangkan untuk kita buat seperti Pulau Pinang baru-baru ini."
-- BERNAMA
#PKR #SOP #ADUN #vaksin #COVID-19 #operasi #rakyat #prosedur operasi standard #Jimmy Puah Wee Tse #pulau pinang
;