ADUN MUDA, Amira Aisya ditempatkan di Blok Pengimbang PN - Speaker DUN Johor

Bernama
September 12, 2023 18:29 MYT
Tempat duduk ADUN Puteri Wangsa Amira Aisya Abd Aziz (gambar) dipindahkan sebaris dengan Blok Pengimbang PN. - Gambar fail/Astro AWANI
JOHOR BAHRU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa Amira Aisya Abd Aziz akan ditempatkan di Blok Pengimbang, sebaris dengan ADUN Perikatan Nasional (PN) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor mulai Khamis ini.
Speaker DUN Johor Datuk Mohd Puad Zarkashi berkata keputusan itu dibuat susulan Presiden MUDA Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang telah menarik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan, dan surat pemakluman daripada Ketua Pengimbang Johor Andrew Chen Kah Eng.
"Berdasarkan kenyataan media oleh Presiden MUDA dan surat pemakluman oleh Ketua Pengimbang Johor dari Blok Pakatan Harapan (PH) Andrew Chen Kah Eng (Stulang), tempat duduk ADUN Puteri Wangsa Amira Aisya Abd Aziz dipindahkan sebaris dengan Blok Pengimbang PN," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Mohd Puad turut memaklumkan majlis angkat sumpah ADUN Simpang Jeram Nazri Abdul Rahman akan dilaksanakan pada 9.30 pagi Khamis sempena mesyuarat ketiga penggal Persidangan DUN Johor ke-15.
Pada Ahad lepas, Syed Saddiq dilapor menarik diri sebagai penyokong kerajaan dan memilih menjadi pembangkang kuasa ketiga dalam Dewan Rakyat.
Pada Pilihan Raya (PRN) Johor Mac tahun lepas, Barisan Nasional meraih kemenangan selesa melebihi majoriti dua pertiga, apabila berjaya memperoleh 40 daripada 56 kerusi DUN di negeri itu, manakala PH memenangi 11 kerusi, diikuti PN (tiga), selain PKR dan MUDA masing-masing satu kerusi.
Pada 20 Mac lepas, Mohd Puad dilapor berkata DUN Johor kini menggunakan istilah pengimbang bagi merujuk semua ADUN Johor pembangkang, menjunjung titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.
Pada Sabtu lepas, Nazri yang juga Timbalan Ketua Amanah Bakri menang dengan majoriti 3,514 undi menewaskan calon PN Dr Mohd Mazri Yahya dan calon Bebas S.Jeganathan.
PRK di kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram dilaksanakan susulan kematian penyandangnya Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, pada 23 Julai lepas.
-- BERNAMA
#ADUN MUDA #Amira Aisya Abd Aziz #Blok Pengimbang PN #Speaker DUN Johor #Mohd Puad Zarkashi #Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
;