ADUN Kedah sifatkan kenyatan Mukhriz sebagai tidak rasmi

Astro Awani
Februari 1, 2016 20:18 MYT
ADUN Kedah dan anggota Exco kerajaan negeri menyifatkan kenyataan dikeluarkan oleh Mukhriz itu tidak dilakukan secara rasmi. - Gambar fail
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan anggota Exco kerajaan negeri enggan mengulas kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mendesak supaya pemimpin UMNO terlibat memohon maaf secara rasmi kepada Sultan Kedah dan Jemaah Pemangku Sultan Kedah.
Mereka menyifatkan kenyataan dikeluarkan oleh Mukhriz itu tidak dilakukan secara rasmi.
Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah, Datuk Rozai Md Shafian ketika diajukan soalan yang sama berkata, beliau tidak pasti mengenainya dan hanya mengetahui mengenai desakan itu melalui laman sosial.
"Kita tidak tahu mengenai perkara murka ini, cuma kita tengok dalam telefon dan tidak terkejut kerana kita tahu dalam telefon ini, dalam Whatsapp, apa-apa sahaja boleh berlaku. Kita akan periksa sama ada ia adalah sah daripada Menteri Besar Kedah, kita belum dapat sebarang pengesahan sebab mereka juga boleh kata ia adalah Obama", katanya di sini hari ini.
BACA: Krisis MB: Sultan Kedah zahir kemurkaan - Mukhriz
Sementara itu anggota Exco, Datuk Nor Sabrina Mohd Noor, enggan mengulas isu mohon maaf dan ketidakhadiran enam anggota Exco dalam mesyuarat Exco bulanan Rabu lalu.
Beliau adalah antara tiga anggota Exco yang hadir dalam mesyuarat itu dan menyifatkan kehadirannya adalah satu tanggungjawab kepada rakyat.
"Mesyuarat Exco ini satu tanggungjawab dan satu tugas kepada kerajaan negeri dan juga kepada rakyat, dalam mesyuarat Exco kita membincangkan banyak perkara, jadi sebab tu saya hadir ke mesyuarat Exco, yang itu sangat subjektif, saya akan hadir untuk berbincang dengan Jemaah Pemangku Sultan bagi mencari jalan penyelesaian", katanya di sini.
Mereka ditemui selepas Istiadat Pengurniaan Bintang dan Pingat Kebesaran sempena Hari Keputeraan Sultan Kedah Ke-88 di Istana Anak Bukit, Alor Setar, Kedah di sini.
Mukhriz dalam kenyataannya semalam dipetik, ketika rakyat Kedah sedang bergembira dengan meraikan Ulangtahun Keputeraan Baginda Sultan Ke-88, sekumpulan pemimpin UMNO negeri telah bertindak mendesak Mukhriz berundur dari jawatan Menteri Besar.
Mukhriz menyifatkan sidang media yang diadakan di Alor Setar pada 20 Januari lalu adalah tindakan tidak bertanggungjawab 12 ketua bahagian dan 2 timbalan ketua bahagian yang turut bertindak mengheret ketua-ketua sayap dan pemimpin muda dalam UMNO.
#(ADUN) dan anggota Exco Kerajaan negeri enggan mengulas kenyataan Menteri Besar #Datuk Seri Mukhriz Mahathir tidak dilakukan secara rasmi #Nor Sabrina Mohd Noor #Rozai Md Shafian
;