ADUN DAP Sabah dakwa ditawar RM20 juta keluar parti

Radhi Muslim
Julai 22, 2020 19:21 MYT
Chong berkata, beliau enggan menerima sebarang tawaran dan berharap pihak berkenaan tidak lagi datang membuat tawaran sedemikian. -Bernama
Wang tunai RM20 juta, jawatan dan projek, adalah antara tawaran yang didakwa dikemukan individu dipercayai ‘ejen keluar parti’ kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Elopura, Calvin Chong.
Adun DAP itu mendakwa, mula dihubungi tujuh individu berlainan dipercayai ejen keluar parti sejak pertengahan Jun tahun ini.
"Ada yang menawarkan setengah juta, RM1 juta, RM3 juta serta jawatan. Namun, jumlah yang tertinggi adalah sebanyak RM20 juta dan juga projek.
"Yang first orang, dia tanya saya ada minat mau (mahu) lompat atau tidak melalui telefon… dia bilang (cakap) apa-apa pun boleh runding... macam duit atau position (jawatan), itu kabinet atau pangkat dia boleh runding.
"Yang sekarang ini, terus jumpa saya, saya pun terkejut dia jumpa saya... dia offer (tawar) saya apa-apa pun boleh, yang penting saya mau lompat," katanya ketika ditemui Astro AWANI di pejabatnya di sini, pada Rabu.
Bagaimanapun, Chong berkata, beliau enggan menerima sebarang tawaran dan berharap pihak berkenaan tidak lagi datang membuat tawaran sedemikian.
Katanya, beliau tetap bersama DAP dan menyokong penuh kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Terdahulu, Chong membuat laporan polis selepas menerima beberapa panggilan telefon serta pesanan menerusi aplikasi Whatsapp yang menurutnya amat 'menganggu'.
Katanya, hari ini merupakan kemuncak kemarahannya apabila menerima satu panggilan telefon pada pukul 5.50 pagi, dan beliau amat terperanjat apabila ada individu yang datang ke rumahnya kira-kira satu setengah jam kemudian bagi tujuan sama.
"Saya amat terganggu dengan cubaan sebegitu, telefon saya menerusi nombor peribadi pada masa yang tidak sesuai dan datang ke rumah pada masa anak saya sedang sakit.
"Ini tidak boleh jadi, kerana bukan sahaja ia menganggu ketenteraman saya, tapi juga keluarga saya," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Balai Polis Sandakan di sini.
#ADUN #Calvin Chong #DAP #Elopura #Ketua Menteri #Mohd Shafie Apdal #Sandakan #Shafie Apdal #WhatsApp
;