ADUN Buntong tinggalkan DAP, sertai Gerakan

Abd Razak Mohd Ali
Jun 26, 2020 14:43 MYT
Sivasubramaniam berkata, pengalaman selama 22 bulan bersama DAP menjadi kerajaan di Perak, adalah amat mendukacitakan. - Gambar Astro AWANI
Selepas lebih tiga bulan mengumumkan keluar daripada DAP, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buntong, di Perak, A. Sivasubramaniam memilih untuk menyertai parti Gerakan.
Kata Sivasubramaniam, keputusan itu dibuat bagi meneruskan khidmatnya kepada rakyat di Buntong yang didakwa gagal dilaksanakan semasa dalam DAP.
Sivasubramaniam berkata, pengalaman selama 22 bulan bersama DAP menjadi kerajaan di Perak, adalah amat mendukacitakan.
"Kononnya, DAP adalah sebuah parti politik yang berpaksikan demokratik dan multiracial. Tetapi keadaan sebenarnya terlalu pahit.
"Demokrasi dalam DAP Negeri Perak dikawal oleh satu dua orang yang berkuasa, mengenepikan kesuburan demokrasi dalam parti itu.
"Di peringkat negeri, dua saudara yang terlalu selesa dengan kuasa, tiada siapa yang boleh menegur mereka, tiada siapa yang boleh menasihati mereka. Demokrasi ala DAP adalah terlalu cacat," katanya pada sidang media khas di Wisma Gerakan Perak di Ipoh pada Jumaat.
Hadir sama Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau dan Pengerusi Gerakan Perak, Datuk See Tean Seng.
Pada 9 Mac lalu, Sivasubramaniam dan ADUN Tronoh, Paul Yong Choo Kiong mengisytiharkan keluar DAP bersama-sama ADUN Titi Serong dari Amanah, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim untuk menjadi ADUN bebas.
Sivasubramaniam yang menjadi ADUN sejak tiga penggal lalu, berkata, lebih 600 ahli DAP daripada 21 cawangan parti itu di Buntong juga bertindak keluar dan menyertai Gerakan.
Sambil menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu dan kerajaan PN Perak, Adun Buntong itu percaya ada lagi wakil rakyat DAP akan meninggalkan parti tersebut.
Sementara itu, Dominic Lau mengalu-alukan penyertaan Sivasubramaniam ke dalam Gerakan bagi meneruskan perjuangnya untuk rakyat di Buntong.
#A Sivasubramaniam #ADUN #Buntong #DAP #GERAKAN #keluar #khidmat #Pakatan Harapan #parti #wakil rakyat
;