Adly ucap terima kasih, perubahan kepimpinan negeri dijangka
Shuhada Abdul Kadir
Februari 25, 2020 10:01 MYT
Februari 25, 2020 10:01 MYT
Pejabat Ketua Menteri Melaka Adly Zahari mula dikawal ketat susulan dijangka bakal berlaku perubahan pada landskap kepimpinan negeri, hari ini.
Kenderaan membawa beberapa ahli Exco memasuki bangunan Seri Negeri selepas difahamkan akan berlangsung mesyuarat khas Pakatan Harapan (PH) negeri yang dijadual jam 9.30 pagi.
Antara yang kelihatan memasuki bangunan Seri Negeri seawal jam 8 pagi itu termasuklah Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri yang juga Timbalan Pengerusi DAP negeri, Datuk Norhizam Hassan Baktee.
Turut dilihat, Exco Pendidikan, Modal Ihsan Sains dan Inovasi Melaka yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu, Datuk Noor Effandi Ahmad.
Sementara itu, kira-kira 20 wakil media turut mula berkampung di hadapan Seri Negeri bagi mendapatkan perkembangan terkini.
Bagaimanapun, sehingga jam 9.45 pagi tadi, belum nampak kelibat Adly memasuki pejabatnya.
Sementara itu, terdahulu hari ini, Adly menerusi kenyataan yang dimuat naik di status laman Facebook, mengucapkan terima kasih kepada rakyat Melaka.
"Terima kasih kepada semua kerana memberi peluang saya memimpin kalian.
"Walaupun tempoh itu singkat, saya telah berusaha memberikan yang terbaik dengan kudrat yang ada untuk menghilangkan kelaparan, kejahilan dan kedukaan semua.
"Didoakan semua dirahmati Ilahi,” tulisnya disambut komen penuh beremosi rakyat Melaka.
Kepemimpinan negeri berubah susulan langkah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) keluar PH seperti diumumkan Tun Dr Mahathir Mohamad, semalam.
PH dan Barisan Nasional negeri masing-masing mempunyai 13 kerusi DUN manakala Bersatu dua kerusi.
#Adly Zahari
#ADUN
#Barisan Nasional
#Facebook
#Mahathir Mohamad
#Melaka
#Pakatan Harapan
#Seri Negeri