Adenan ibarat 'penyapu baru', pembangkang sukar kuasai persepsi - Saifuddin
Mariah Ahmad
Januari 31, 2016 16:17 MYT
Januari 31, 2016 16:17 MYT
Pengarah Pilihan Raya Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Saifuddin Nasution Ismail menyifatkan kepimpinan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem sebagai 'penyapu baru'.
Istilah itu merujuk kepada satu persepsi, bahawa apa yang dilakukan Adenan dalam pemerintahannya kelihatan lebih baik secara relatif, berbanding ketua menteri sebelumnya.
Bagaimanapun, Saifuddin berkata, kelebihan menguasai persepsi yang dimiliki Adenan itu tidak akan bertahan lama, memandangkan Adenan gagal mewujudkan kestabilan politk dalam parti pemerintah.
"'Penyapu baru' ini adalah seperti seseorang yang mengambil alih sesuatu jawatan itu akan dilihat di mata rakyat sebagai kena sahaja apa tindakannya.
"Pertama, ia berkaitan dengan tata kelola pemerintahan yang baik. Kedua, sama ada mampu atau tidak Adenan berjaya menyelesaikan isu pengurusan tanah adat yang di bawa ke mahkamah secara terbuka.
"Ketiga adalah isu kualiti prasarana yang masih belum dapat diselesaikan, sesuai dengan tempoh masa Sarawak bergabung dengan Malaysia," tambahnya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi Astro AWANI pada Ahad, sebagai reaksi kepada kenyataan Pengarah Pilihan Raya PAS Datuk Mustafa Ali yang mendakwa masih sukar bagi pembangkang mengatasi Barisan Nasional (BN) Sarawak Pada Pilihan Raya Negeri ke-11 itu.
Sementara itu, Saifuddin berkata, Adenan juga harus menyelesaikan isu hasil negeri Sarawak yang perlu dikembalikan secara adil kepada rakyatnya, bagi menyerlahkan kelebihan kepimpinannya berbanding kepimpinan ketua menteri yang sebelumnya.
Cabaran pembangkang kuasai 'pertarungan persepsi' rakyat Sarawak
Politik adalah pertarungan bagi menguasi persepsi rakyat dan ujian pertama bagi pihak pembangkang adalah dengan melipatgandakan usaha perbandingan antara persepsi dengan realiti semasa, kata Saifuddin.
"Kita boleh tumpukan kepada berlaku atau tidak kestabilan politik di dalam parti pemerintah apabila Adenan Satem mengambil alih. Jawapannya ternyata tidak.
"Ada dua parti serpihan dalam komponen BN Sarawak, iaitu serpihan kepada Parti Bangsa Dayak Sarawak, yang menghasilkan Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) dan serpihan kepada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang menghasilkan Parti Rakyat Bersatu (UPP).
"Kewujudan dua parti serpihan ini masih tidak boleh diterima BN Sarawak dan ini bukti yang terang, yang kita boleh tampilkan di mata rakyat Sarawak," tambah Saifuddin.
#Adenan Satem
#Parti Keadilan Rakyat
#penyapu baru
#pilihan raya negeri
#PKR
#politik
#Saifuddin Nasution Ismail
#Sarawak