Adam Adli sah tawar diri bertanding Ketua AMK
Astro Awani
Mac 30, 2022 18:49 MYT
Mac 30, 2022 18:49 MYT
KUALA LUMPUR: Menjelang Pemilihan PKR 2022 Mei nanti, aktivis pelajar Adam Adli Abdul Halim hari ini, mengumumkan menawar diri untuk bertanding jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK).
Dia akan bergandingan dengan exco AMK Perak, Muhammad Kamil Abdul Munim, yang akan bertanding jawatan Timbalan Ketua AMK.
Dalam satu kenyataan bersama, Adam Adli dan Muhammad Kamil berkata, mereka akan bernaung dalam satu gabungan pasukan yang dinamakan 'Seangkatan'.
"Pasukan penuh yang terdiri daripada tiga calon naib ketua AMK dan 20 orang calon exco AMK serta lima teras Seangkatan yang bakal dijadikan prinsip dan panduan menggerakkan kempen kali ini akan diumumkan dalam kenyataan bersama dalam majlis berasingan tidak lama lagi," kata mereka.
Dalam kenyataan itu juga, mereka menegaskan AMK perlu mempunyai tenaga yang paling kuat sebagai pemimpin parti dan tunjang utama perjuangan reformasi.
"Untuk mencapai tujuan di atas, bakat-bakat muda, lama dan baharu yang mempunyai bukan sahaja cita-cita sebaliknya kesedaran yang tinggi harus diangkat untuk menggalas tanggungjawab memimpin barisan hadapan parti iaitu AMK.
"Inilah cabaran yang harus kita sahut," kata mereka lagi.
Adam Adli dan Muhammad Kamil juga berharap Pemilihan PKR 2022 berlangsung dengan penuh harmoni dan ukhwah, sesuai matlamat besar untuk mengukuhkan semula parti dan perjuangan bersama.