Adakan Pemilihan UMNO untuk pulihkan parti

Datuk Tengku Putra Haron Aminurrashid Tengku Hamid Jumat
April 10, 2021 17:31 MYT
Kita boleh menyokong Presiden sehingga tamat tempoh tetapi pada masa yang sama, Jawatankuasa Disiplin UMNO harus mula mengambil tindakan untuk memulihkan keadaan dalaman parti. - REUTERS/Samsul Said
PADA Perhimpunan Agung UMNO yang telah diadakan baru-baru ini, kita berasakan bahawa Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah gagal memanfaatkan mandat yang diberikan oleh perwakilan pada hari terakhir persidangan untuk merungkai pemasalahan parti.
Beliau bukan hanya tidak meminta menteri-menteri UMNO untuk segera menarik diri daripada Kabinet, malah memberi mereka lebih banyak ruang menggunakan kedudukan dalam kerajaan untuk menyebarkan lagi 'racun' di kalangan akar umbi yang semakin perlahan-lahan termakan dengan tohmahan yang dibuat terhadap pemimpin dan parti.
Perang mulut secara terbuka dan bangkangan antara pemimpin semakin berleluasa dan merugikan parti.
Tiga Puak
Dari pengamatan saya, terdapat tiga puak dalam UMNO yang telah menyumbang kepada keretakan dalam parti.
Pertama, puak menyokong Presiden yang beranggapan bahawa dia terpilih secara demokratik dan mesti dibenarkan untuk menghabiskan penggalnya walaupun terdapat kecaman-kecaman ke atasnya.
Ketika ini, puak berkenaan adalah kumpulan majoriti kerana dasar parti yang memilih untuk tidak bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
Kedua, puak menyokong menteri-menteri UMNO dalam Kabinet yang kebanyakannya cenderung untuk bekerja dengan Bersatu dalam pilihan raya akan datang.
Puak ini perlahan-lahan berkembang jumlahnya kerana sumber yang dimiliki oleh tuan mereka sebagai anggota Kabinet amatlah besar.
Perlu diingatkan bahawa dalam lapan jawatan teratas dalam parti, iaitu Presiden, Timbalan Presiden serta Naib-naib Presiden (termasuk ketua-ketua sayap), hanya dua daripada mereka adalah anggota Kabinet.
Mereka adalah Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Wanita, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.
Oleh yang demikian, kekuatan sebenar UMNO tidak terpusat di dalam Majlis Tertinggi (MT) dan inilah yang menyebabkan bangkangan terbuka diperlihatkan akhir-akhir ini. Secara perlahan, ia menyebabkan lebih banyak keretakan dalam parti.
Ketiga, adalah puak yang tidak semestinya menyokong Presiden atau Menteri, tetapi taat setia kepada UMNO sendiri.
Kumpulan inilah yang mahukan parti dengan segera mengadakan pemilihan mengikut Perlembagaan untuk mengembalikan ketenteraman dalam UMNO.
Kita berpendapat bahawa UMNO wajib mengadakan pemilihannya tahun ini seperti yang diperuntukan dalam Perlembagaan parti walaupun terdapat klausa di dalamnya yang membolehkan MT menangguhkan pemilihan parti selama 18 bulan.
Klausa ini sebenarnya merupakan konflik berkepentingan kerana ia juga bermakna bahawa anggota MT sendiri dapat terus berkuasa untuk jangka waktu yang sama.
Kita mungkin boleh mengabaikan rakaman audio bocor yang didakwa perbualan antara Presiden UMNO dan PKR.
Kita juga mungkin boleh mengabaikan permintaan untuk Presiden berundur daripada pucuk kepimpinan parti.
Pada hakikatnya, kita berasakan adalah juga satu kesalahan untuk menyingkir seorang Presiden sebelum tamat tempoh penggalnya.
Sekiranya berprinsip, dia akan mengundurkan diri secara terhormat seperti dilakukan bekas Presiden, Datuk Seri Mohd Najib Razak yang mana keputusan dibuatnya amat dikesali oleh kebanyakan ahli UMNO hari ini.
Kita boleh menyokong Presiden sehingga tamat tempoh tetapi pada masa yang sama, Jawatankuasa Disiplin UMNO harus mula mengambil tindakan untuk memulihkan keadaan dalaman parti.
Ini mesti dilakukan ketika akar umbi masih bersatu dan tidak dimusnahkan oleh mereka yang memegang jawatan dalam kerajaan dan mempunyai agenda berbeza.
Jika tidak, kita boleh meminta agar Jawatankuasa Disiplin dibubarkan sahaja kerana tidak berfungsi seperti yang diharapkan.
Sekiranya selepas pemilihan parti ini, muka-muka yang sama yang tidak berkeupayaan kembali mengemudi parti, hanya kepada Allah kita berserah untuk menghadapi PRU15 nanti.
Maka seharusnya kita menerima laknat daripada tindakan sendiri.

* Penulis adalah mantan ADUN Kempas (2013-2018) dan memegang keahlian UMNO 01059553.
** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
#Zahid Hamidi #UMNO #PKR #Bersatu #PAU2020 #PRU15
;