Adakah sentimen 'orang luar' mempengaruhi pengundi Perak?

Nazialita Geynna Maharan
Mei 4, 2018 06:49 MYT
Tajuddin berpesan kepada pengundi di Parlimen Teluk Intan untuk tidak dipermainkan oleh calon luar. - Gambar fail
Isu 'orang luar' menjadi perbualan hangat dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) khususnya di negeri Perak dengan menyaksikan Prof Dr Aziz Bahri dari Selangor yang bertanding di DUN Tebing Tinggi.
Selain itu, Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming juga dikatakan telah 'melompat' ke Teluk Intan untuk mencuba nasib memenangi semula kerusi yang menjadi milik Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong hasil kemenangan pada PRK ke13.
Susulan itu, Astro AWANI cuba merungkai apa kata pemimpin di sekitar negeri Perak berkenaan dengan hal ini bermula daripada calon Barisan Nasional (BN) yang menolak sehabisnya 'orang luar' daripada menjadi tunjang dan suara rakyat baik di Dewan Negeri dan Parlimen kelak.
Sebelum ini, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abd Rahman telah berpesan kepada pengundi di Parlimen Teluk Intan untuk tidak dipermainkan oleh calon luar.
Katanya, kehadiran Nga Kor Ming sebagai calon di Parlimen itu adalah sekadar taktitk untuk memanipulasi pengundi di kawasan tersebut.
Memahami rakyat
Tidak berhenti di situ, kehadiran Prof Dr Aziz Bahri di Tebing Tinggi juga dipersoalkan oleh kebanyakan pemimpin BN di Ipoh yang dikatakan datang secara tiba-tiba dari Selangor dan cuba bertanding tanpa memahami rakyat.
Malah, sebelum ini Astro AWANI turut melaporkan beberapa kenyataan berkenaan dengan profesor lulusan undang-undang itu yang dikatakan bersikap seperti 'samseng jalanan' oleh Ketua Bahagian UMNO Ipoh Timur, Datuk Azian Osman.
Selepas itu, timbul pula kenyataan tegas daripada calon BN di DUN Lintang, Datuk Zolkafly Harun yang memberi peringatan bahawa calon luar tidak mempunyai semangat untuk membangunkan kawasan jika mereka menang, kerana mereka bukanlah anak jati yang benar-benar faham situasi di Sungai Siput.
Malah, Datuk Zolkafly juga berkata bahawa Barisan Nasional sentiasa menampilkan anak tempatan untuk memenangi hati dan undi sebagai amanah daripada rakyat.
Makan diri
Astro AWANI berpeluang bertemu dengan beberapa pemimpin daripada Pakatan Harapan yang menyuarakan bahawa kenyataan calon BN itu umpama memakan diri sendiri.
Salah satu daripadanya adalah calon Parlimen Taiping, Teh Kok Lim yang sebelum ini memegang kerusi DUN Pokok Assam.
Kata Kok Lim, calon yang diletakkan di Parlimen Taiping daripada BN iaitu Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang merupakan seorang anak kelahiran Alor Setar, Kedah, justeru menjadikannya orang luar.
“Saya merupakan anak Taiping, dan saya tahu kesemua selok-belok di Taiping ini dan masalah rakyat kerana sebelum ini saya juga merupakan Ahli DUN Pokok Assam.
“Dia baru berada di Taiping selama beberapa bulan, dan cuba mengenali setiap daripada masalah di sini hanya untuk menjadi calon, mana boleh,” katanya ketika ditemui di Bilik Gerakan Aulong, Taiping, baru-baru ini.
Semuanya sama?
Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming yang pernah memenangi kerusi DUN Pantai Remis selama tiga penggal, (1999-2008) dan DUN Kepayang (2013) serta Parlimen Taiping (2008-2013) juga menyuarakan komen beliau.
“Apa yang cuba dikatakan oleh BN sebenarnya seperti menampar diri sendiri, kerana jika kita kaji betul-betul, ramai calon mereka juga dari orang luar. Rakyat kena perhati dan lihat mereka juga,” katanya.
Malah, calon DUN Lintang, Madhi Hassan (PKR) yang pernah tewas kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Parlimen Bagan Datuk pada PRU13 juga membidas kenyataan daripada BN selama tempoh berkempen tersebut.
Katanya, jika dilihat kepada tanah kelahiran sebenar, calon Parlimen Sungai Siput, Datuk Seri S.K. Devamany merupakan anak kelahiran Semanggol dan begitu juga dengan Tun Samy Vellu yang memegang kerusi Parlimen Sungai Siput selama lapan penggal bermula daripada 1974, merupakan anak kelahiran Johor.
“Saya lihat, perkara itu bukan lagi perkara relevan di Malaysia. Devamany dan Samy Vellu pun orang luar,” katanya ketika ditemui di Kg Baharu Parit Ador, Lintang, Sungai Siput, baru-baru ini.
Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail turut menyuarakan pendapat beliau tentang isu 'orang luar' yang dilaungkan BN kepada pihak pembangkang, khususnya Pakatan Harapan, yang berpindah-randah ke sana sini di Perak.
“Kita (Pakatan Harapan) memberikan calon yang terbaik, kita anak Perak, apa yang luar, Perak negeri yang besar. Memanglah kita belajar tempat lain… tetapi kita semua orang Malaysia,” katanya.
#calon luar #MalaysiaMemilih #pilihan raya #politik #PRU14 #sentimen masyarakat
;