Adakah PH akan tuduh Syed Saddiq kluster mahkamah? - Asyraf Wajdi
Afiezy Azaman
Oktober 28, 2022 11:40 MYT
Oktober 28, 2022 11:40 MYT
KUALA LUMPUR: Pemuda UMNO mempersoalkan pendirian Pakatan Harapan (PH) sama ada akan menuduh Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebagai 'kluster mahkamah'.
Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata demikian selepas penyandang kerusi Parlimen Muar itu diarahkan membela diri dalam kes pecah amanah, salah guna kuasa dan harta dan pengubahan wang haram.
"Sudah tentulah kes ini masih berjalan, namun hari ini kita akan mula melihat bagaimana hipokrasi Pakatan Harapan akan bermula.
"Jika mereka boleh menuduh Presiden UMNO (Ahmad Zahid) sebagai kluster mahkamah walaupun telah dibebaskan dalam 40 pertuduhan VLN (Visa Luar Negara) sebelum ini, adakah mereka akan melakukan perkara yang sama kepada Syed Saddiq?
"Rakyat akan melihat dan menilai betapa keadilan yang PH junjung selama ini hanyalah hipokrit dan bersifat terpilih," katanya dalam satu kenyataan di Facebook, pada Jumaat.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Syed Saddiq Syed membela diri berhubung empat pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram.
Keputusan itu dibacakan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie terhadap semua pertuduhan di akhir kes pendakwaan itu.
Mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan untuk Syed Saddiq membela diri bermula 22 hingga 24 Februari serta 13 dan 14 Mac dan 10 hingga 14 April tahun hadapan.