Adakah Nik Omar 'game changer' politik Kelantan?

Marlina Manaf
Mei 8, 2018 06:13 MYT
Soalan kenapa Nik Omar (tengah) tidak bertanding atas tiket Pas, sudah dijawab beliau dalam siri-siri ceramah sepanjang 11 hari berkempen.
Akan adakah gelombang di negeri serambi Mekah pada PRU kali ini?
Mungkin #IniKalilah? Atau #LainKalilah?
Gelombang atau tidak, semuanya terserah kepada tangan 1.05 juta pengundi di Kelantan, untuk terjemah suara dan hasrat mereka ke kertas undi.
Jika sebelum ini, pertembungan politik di negeri Cik Siti Wan Kembang disifatkan pertembungan klasik, turun-temurun dan warisan hanya melibatkan Pas dan Barisan Nasional (BN)
Tetapi 'classic Malay battle' kini ada kuasa ketiga dengan kewujudan Pakatan Harapan (Harapan).
Mengambil kira tahun 2018, sudah 28 tahun BN cuba menawan hati rakyat Kelantan.
Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), prestasi BN meningkat, 150 peratus di peringkat Parlimen, dengan pertambahan 5 kerusi daripada 2 pada pilihan raya sebelumnya, dan 100 peratus di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan pertambahan 12 kerusi daripada 6 pada pilihan raya sebelumnya.
Sentimen sokongan rakyat terhadap BN ketika itu bagaimanapun tidak cukup untuk mereka rampas kembali Kelantan daripada Pas.
Pas yang memperjuangkan syariat Islam, terus jadi juara di hati rakyat.
Parti itu membentuk kerajaan negeri dengan menang 33 kerusi daripada 45 kerusi DUN, dengan satu kerusi milik PKR yang ketika itu bersama Pas dalam Pakatan Rakyat.
-----------------------------------------------------------
Harus diakui, tumpuan di Kelantan kini bukan hanya Pas vs BN vs Harapan, isu GST, kenaikan harga barang, kekurangan pekerjaan, tetapi juga tertumpu kepada pertembungan dua nama, yang membawa satu legasi, iaitu legasi bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Sejak munculnya anak kedua Nik Aziz, Nik Omar pada hari penamaan calon di DUN Chempaka, semua mata jadi ligat memerhati.
BACA: Anak Allahyarham Nik Aziz buat kejutan di DUN Chempaka
BACA: Ada apa dengan Nik Omar?
Soalan kenapa Nik Omar tidak bertanding atas tiket Pas, sudah dijawab beliau dalam siri-siri ceramah sepanjang 11 hari berkempen.
"Saya teruskan legasi tanggungjawab ayoh, tidak kira atas tiket apa sekalipun," Nik Omar beritahu penulis ketika sesi temuramah eksklusif baru-baru ini.
VIDEO : Wawancara Eksklusif Dengan Nik Omar
'Pergocohan' DUN Chempaka adalah tiga penjuru, antara penyandang sejak 2015, Ahmad Fathan Mahmood dari Pas, Mohamed Fareez Noor Amran dari BN serta Nik Omar yang bertanding atas tiket PKR.
BACA: Adakah haruman Chempaka bakal berubah?
Satu lagi legasi Nik Aziz yang perlu diberi perhatian adalah perjuangan Nik Abduh yang kini bergelut mempertahankan masa depan politiknya.
Percaturan Pas meletakkan Nik Abduh di kerusi Parlimen Bachok, dan bukan di Pengkalan Chepa, kubu kuat parti itu dilihat sesetengah pemerhati sebagai cubaan bunuh karier politiknya, sekaligus kikis pengaruh serta imej Nik Aziz dalam parti itu.
Di Bachok, penganalisis membaca, Nik Abduh hanya ada peluang 50-50.
Kerusi Parlimen itu, jatuh ke tangan Pas pada PRU13, gara-gara masalah dalaman UMNO sendiri, termasuk perangai 'Cah Keting' pemimpin.
Nik Abduh bertemu dengan bekas penyandang kerusi itu dari BN, Datuk Dr Awang Adek Hussin serta calon Harapan-PKR, Zulkifli Zakaria.
Sementara itu, Penganalisis Politik Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof Dr Razli Che Razak memaklumkan di Kelantan, pengundi adalah cenderung sama ada kepada BN atau Pas yang pada ketika ini berada pada 50-50.
"Pengaruh Nik Omar juga tidak akan beri kesan kepada corak pengundian di negeri ini," kata beliau.
Sebaliknya, Dr Razli berpendapat imej Nik Omar lebih popular di peringkat nasional, serta bakal mempengaruhi hampir 500,000 pengundi luar Kelantan.
Namun beliau berkata, sekiranya, pengundi luar memilih Pakatan Harapan berbanding Pas, BN ada peluang besar kembali memerintah di negeri ini.
#Barisan Nasional #Chempaka #DUN #Kelantan #MalaysiaMemilih #Nik Abdul Aziz Nik Mat #Nik Omar Nik Abdul Aziz #Pakatan Harapan #PAS #pilihan raya umum #politik #PRU14 #UMNO
;