Adakah membalas dendam masih jadi 'polisi senyap' kerajaan Pakatan Harapan? - Wan Saiful

Hilmi Malik
November 29, 2022 14:45 MYT
WAN SAIFUL: "Sekiranya berlaku pertukaran pegawai kanan kerajaan ia membuktikan kerajaan masih mempunyai unsur dendam politik." - Fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat gagal memberi jaminan kerajaan pimpinannya tidak akan menjalankan ‘witch-hunt’ terhadap pegawai-pegawai kerajaan yang tidak sehaluan.
Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan mendakwa Anwar gagal membuktikan perkara itu sewaktu berucap di perhimpunan bulanan di Dataran Perdana Putra di Putrajaya pada Selasa.
Wan Saiful yang juga merupakan Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli juga sebelum ini dilihat mengugut akan ‘mencari’ penjawat awam yang hanya menjalankan tugas.
"Adakah membalas dendam ini masih lagi menjadi polisi senyap kerajaan Pakatan Harapan?
"Anwar sepatutnya segera memberi jaminan bahawa sikap dendam terhadap penjawat awam tidak akan dibiar berleluasa di Putrajaya," katanya menrusi hantaran di Facebook hari ini.
Rafizi sebelum ini sewaktu berkempen PRU15 di Johor Bahru dilaporkan memberi amaran kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berikutan beberapa serbuan SPRM terhadap syarikatnya, Invoke Solutions Sdn Bhd yang dikatakan berunsur politik.
Dalam pada itu, Wan Saiful juga mendakwa Rafizi sedang melobi bagi merebut jawatan Menteri Kewangan meskipun perbincangan masih berjalan mengenai pembentukan Kabinet.
"Sekiranya sikap dendam ini dibawa ke kementerian yang sebegitu penting, apa akan jadi kepada pentadbiran negara?
"Mungkinkah peruntukan akan dipotong begitu saja jika dia tidak suka kepada individu tertentu?" katanya lagi.
Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata sekiranya wujud beberapa pegawai kanan kerajaan yang ditukar maka ia memberikan petunjuk bahawa institusi kerajaan dalam bahaya ekoran faktor dendam politik.
[TERKINI] Majlis perjumpaan Perdana Menteri bersama warga JPM
BACA: PANTAU KERAJAAN BAHARU!
Sementara itu, Anwar sewaktu ucapan sulungnya bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada Selasa menyatakan tidak berminat untuk mengimbau kembali pentadbiran kerajaan terdahulu.
Sebaliknya, kerajaan perpaduan yang dipimpinnya akan tertumpu kepada pemulihan negara termasuk soal untuk mengembalikan imej negara yang sebelum ini dilihat semakin merosot.
#Anwar Ibrahim #penjawat awam #Wan Saiful Wan Jan #Pantau Kerajaan Baharu
;