'Adakah kalian masih Cina?' - Soal MCA kepada DAP
Astro Awani
Januari 2, 2019 18:39 MYT
Januari 2, 2019 18:39 MYT
Naib Presiden MCA, Tan Teik Cheng, kesal dengan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyatakan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) adalah sesuatu yang mudah namun terlebih dahulu perlu mengambil kira perasaan orang Melayu.
Dalam satu kenyataan media pada Rabu, Teik Cheng berpendapat kenyataan itu seolah-olah tidak menghiraukan perasaan masyarakat Cina.
"Rakyat menyokong Mahathir termasuk dari kalangan Melayu, Cina, India dan pelbagai lagi etnik lain. Anda kata UEC boleh diiktiraf dengan hanya tandatangan nama anda, asalkan perasaan orang Melayu dijaga.
"Tetapi, tidakkah perasaan orang Cina juga perlu dipertimbangkan?" katanya dalam kenyataan itu.
Beliau juga turut mempersoalkan pendirian yang dipegang barisan pemimpin DAP ketika ini.
"(Kenyataan) Ini juga bercanggah dengan pernyataan oleh beberapa pemimpin DAP, terutamanya veteran DAP Lim Kit Siang, Timbalan Speaker Dewan Rakyat Nga Kor Ming, Menteri Kewangan merangkap Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Timbalan Menteri Pelajaran Teo Nie Ching, Ahli Majlis Eksekutif DAP Negri Sembilan Teo Kok Seong.
"DAP, bagaimana perasaan kalian selepas mendengar kenyataan Tun Dr Mahathir mengenai pengiktirafan UEC? Adakah kalian masih Cina?
"Lim Guan Eng, jika anda masih Cina, dan masih memegang janji anda, masyarakat Cina sedang menunggu penjelasan daripada anda. Tolong jangan berdiam diri sahaja!" katanya.
Perdana Menteri, dalam satu temu bual dengan sebuah akhbar berbahasa Cina berkata, mudah bagi Kerajaan Persekutuan untuk mengiktiraf UEC, namun kerajaan mesti menimbangkan perasaan orang Melayu dan mesti menangani jurang pengagihan kekayaan negara terlebih dahulu.
#Cina
#DAP
#kerajaan
#Lim Guan Eng
#Lim Kit Siang
#Mahathir Mohamad
#MCA
#Melayu
#Perdana Menteri
#Sijil Peperiksaan Bersama
#Tan Teik Cheng
#UEC