"Ada sesuatu yang tidak kena dalam AMK" - Najwan

Umavathi Ramayah
Jun 30, 2021 20:02 MYT
Najwan Halimi memberitahu, selain beliau, lima lagi anggota AMK juga digugurkan serta-merta atas alasan rombakan jawatankuasa organisasi. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Selepas dipecat daripada jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor pada Selasa, Najwan Halimi percaya ada sesuatu yang ‘tidak kena’ dengan sayap berkenaan sehingga dialihkan dengan menghukum mereka yang bekerja untuk parti.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik itu, selain beliau, lima lagi anggota AMK juga digugurkan serta-merta atas alasan rombakan jawatankuasa organisasi.
"Ada sesuatu yang tidak kena dalam AMK sekarang yang mana kelemahannya cuba dialihkan dengan menghukum kepimpinan yang bekerja," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Rabu.
Mengulas lanjut, Najwan turut menegaskan yang beliau tidak mengetahui pemecatannya itu sambil mengakui tindakan sedemikian sesuatu yang jarang berlaku.
Kata Najwan, sepengetahuan beliau setiap pelantikan atau pertukaran perlu melalui proses mesyuarat.
"Saya hanya dimaklumkan oleh Akmal Nasir (Ketua AMK Kebangsaan), dalam sejam kemudian saya dapat surat. Saya dimaklumkan ia adalah ekoran rombakan melibatkan AMK," jelas Najwan lagi.
Beliau juga menegaskan, pemecatan itu juga tidak dibincangkan dengan pengerusi parti negeri.
Sehubungan itu, Najwab berkata, beliau kini akan menumpukan khidmat sebagai ADUN dan pada masa sama terus memperkuatkan parti di Selangor.
#AMK #PKR #kemelut AMK #dipecat #digugurkan #Anwar Ibrahim #Najwan Halimi #ADUN
;