Ada rombakan Kabinet? PM dijangka terima cadangan UMNO - Penganalisis
Umavathi Ramayah
Oktober 19, 2020 14:43 MYT
Oktober 19, 2020 14:43 MYT
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkemungkinan menimbangkan sepenuhnya cadangan yang dikemukakan oleh parti UMNO pada Mesyuarat Muafakat Nasional (MN) yang dijadual berlangsung minggu ini bagi menyelesaikan kemelut politik negara.
Ia termasuk kemungkinan melakukan rombakan Kabinet.
Pandangan itu diutarakan penganalisis politik, Datuk Dr Ahmad Faris Abdul Halim yang percaya, sebagai sebuah parti dengan jumlah kerusi lebih banyak, UMNO pastinya mahukan lebih banyak jawatan dalam Kabinet.
"Kemungkinan terbaik yang saya jangkakan akan berlaku adalah perdana menteri akan menerima 100 cadangan atau kemahuan UMNO dalam menyelesaikan kemelut ini, itu yang terbaik.
"Jadi saya menjangkakan masalah ini dapat diselesaikan dalam minggu ini sama ada membuat rombakan Kabinet atau Tan Sri Muhyiddin dapat menerima cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh kepimpinan UMNO.
"Pada masa yang sama, UMNO juga mestilah bersedia untuk menerima sebarang keputusan perdana menteri kerana kita tidak boleh memaksa seseorang untuk menerima sepenuhnya (cadangan)," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini, pada Isnin.
Dua hari lalu, Setiausaha Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa, berkata pemimpin UMNO, Bersatu dan Pas sudah memulakan rundingan mencari penyelesaian, berhubung kerjasama tiga parti itu.
MN akan mengadakan mesyuarat pada minggu ini berkaitan rundingan itu.
Ditanya mengenai calon jawatan timbalan perdana yang paling sesuai sekiranya Muhyiddin bersetuju untuk melakukan rombakan Kabinet dengan syarat beliau kekal sebagai perdana menteri, Ahmad Faris berkata, berdasarkan hierarki politik UMNO, Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sudah tentu seharusnya layak diangkat bagi mengisi jawatan itu.
Namun demikian katanya, memandangkan kes perbicaraan beliau masih berjalan di mahkamah, maka pilihan kedua yang terbaik adalah timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan dengan melantiknya sebagai Senator.
"Pilihan ketiga, terbaik dan terakhir adalah Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabari Yakaob yang sudah tentu memenuhi semua kriteria termasuk berstatus Ahli Parlimen, maka tidak banyak birokrasi yang akan dilalui.
"Tan Sri Muhyiddin hanya perlu upgrade jawatan beliau supaya menjadi timbalan perdana menteri dan saya rasa pelantikan Ismail Sabri adalah pilihan terbaik," jelasnya lagi.
#rundingan UMNO Pas Bersatu
#cadangan
#kemelut politik negara
#Perdana Menteri
#Timbalan Perdana Menteri
#krisis politik