"Ada rombakan Kabinet? Kita tunggu kalau benar" - Zahid
Umavathi Ramayah
Mei 27, 2023 14:15 MYT
Mei 27, 2023 14:15 MYT
PUTRAJAYA: Sebarang rombakan Kabinet di bawah Kerajaan Perpaduan adalah hak mutlak dan berdasarkan budi bicara perdana menteri, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
"Lazimnya tiada seorang perdana menteri berbincang dalam (mesyuarat) Kabinet untuk melakukan rombakan.
"Kita tunggu kalau benar perkara itu (rombakan selepas pilihan raya negeri) berlaku," katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Kemuncak Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2023 di sini, pada Sabtu.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas desas-desus yang tersebar mengenai kemungkinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan merombak barisan Jemaah Menteri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN).
Enam negeri yang akan mengadakan PRN tahun ini adalah Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.
Sementara itu semasa dirujuk mengenai prestasi jemaah menteri ketika ini, Ahmad Zahid berkata pada pandangannya semua menteri telah melaksanakan tugas dengan baik.