Ada pihak cuba godam keputusan pemilihan PKR - Dr Zaliha
Sinar Harian
Julai 4, 2022 21:01 MYT
Julai 4, 2022 21:01 MYT
SHAH ALAM : Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendedahkan bahawa terdapat percubaan untuk menggodam keputusan pemilihan parti oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Pengerusinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, namun begitu, perkara tersebut telah dikenal pasti dan pakar audit telah memberi cadangan untuk mengemaskinikan rekod pengundian.
Jelas beliau, proses pemutihan juga telah dilaksanakan berdasarkan keputusan analisa digital tersebut.
“Setelah menerima laporan audit dari pakar digital, JPP telah meneliti laporan dan menerimanya berdasarkan kepada bukti berasas menerusi analisa digital.
“Dapatan audit mendedahkan terdapat percubaan-percubaan untuk menggodam keputusan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Tambah Zaliha, bagaimanapun perkara tersebut tidak menjejaskan keputusan kemenangan sebahagian besar calon-calon sama ada di peringkat pusat mahupun di peringkat cabang.
Artikel asal di Sinar Harian