Ada pemimpin pembangkang takut saya turun ke universiti - PM Anwar

Abd Hadi Che Awang
Julai 8, 2023 17:13 MYT
Anwar ketika berucap bagi Sesi Dialog Temu Anwar peringkat negeri Kedah di Universiti Utara Malaysia, Sintok pada Sabtu. - Foto BERNAMA
SINTOK: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan bahawa wujud beberapa pemimpin dalam kalangan parti pembangkang takut dengan tindakannya yang turun ke peringkat bawahan termasuk program melibatkan golongan mahasiswa.
Menurut beliau, tindakan yang dilakukan itu adalah untuk memastikan suara rakyat terutama dalam kalangan golongan berkenaan dapat didengari dan dibawa ke peringkat yang lebih tinggi.
Ahli Parlimen Tambun itu turut menafikan dakwaan pemimpin tertentu yang menyifatkan dirinya tidak melaksanakan tugas sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan kerana terlibat dalam pelbagai sesi dialog.
"Dia (mereka) kata buat apa nak ada dialog, buat (lah) kerja (hakiki Perdana Menteri), Isnin (hingga) Jumaat (saya) kerja (di) pejabat, Sabtu (dan) Ahad (saya akan buat) kerja di bawah, apakah salah saya dengar masalah mahasiswa? Saya tidak tahu (apa punya dakwaan mereka ini).
"(Sebagai contoh) apabila (saya) ada program di Langkawi, saya dengar anak ini tanya dan bangkitkan mengenai bantuan E-Belia, keesokkan harinya, saya terus ke pejabat dan nyatakan (bantuan itu) mesti disalurkan sebelum Hari Raya AidilAdha.
"Ada cadangan lain, soal program internship, ada katanya intern tak dibayar, ada Tingkatan 6 di Kelantan bangkit (isu itu), suara anak itu ketuk pintu hati saya, (saya) bawa ke perhimpunan bersama Suruhanjaya Sekuriti, Bursa dan tokoh korporat di Kuala Lumpur, saya beritahu dengar keluhan anak muda ini bayar yang setimpal dengan kerja mereka," katanya.
Anwar berkata demikian ketika berucap bagi Sesi Dialog Temu Anwar peringkat negeri Kedah di Universiti Utara Malaysia, Sintok pada Sabtu.
28 Jun lalu, Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa sokongan daripada golongan muda kini berpihak kepada gabungan berkenaan.
Menurut beliau, situasi itu memaksa Perdana Menteri, meninggalkan kerja hakikinya untuk turun ke universiti-universiti bagi menarik sokongan kumpulan berkenaan bagi menyokong kerajaan yang dipimpin Ahli Parlimen Tambun itu ketika ini.
#temu anwar #Anwar Ibrahim #pemimpin pembangkang #universiti utara malaysia
;