Ada keperluan untuk semak semula proses pemilihan PKR - Dr Afif

Bernama
November 13, 2018 08:02 MYT
AFIF: Kalau kita ada kesilapan kita harus akui dan kita harus bergerak daripada kesilapan itu dan melakukan perkara yang betul. - Gambar fail
Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Dr Afif Bahardin berkata ada keperluan untuk kepimpinan PKR Pusat melihat semula proses pemilihan parti itu yang dilihat tidak mewakili suara majoriti dan akar umbi secara keseluruhannya.
Dr Afif yang mengakui terdapat kelemahan dalam proses pemilihan parti itu berkata perubahan perlu dilakukan untuk memastikan PKR kekal relevan dan survival parti itu yang kini adalah sebuah parti pemerintah.
"Kita parti reformasi harus punya kesedaran, iltizam dan keyakinan diri untuk melakukan perubahan. Kalau kita 'rigid', tidak mahu melakukan perubahan maka akhirnya kita akan menjadi UMNO dan Barisan Nasional yang tidak mahu berubah mengikut kehendak rakyat dan mengangkat prinsip-prinsip demokrasi dan keadilan seperti yang selayaknya.
"Kalau kita ada kesilapan kita harus akui dan kita harus bergerak daripada kesilapan itu dan melakukan perkara yang betul. Itu prinsip reformasi yang kita junjung dalam PKR," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Dewan Undangan Negeri, di sini pada Isnin.
Beliau berkata pihaknya akan membawa usul berhubung perkara itu dalam Kongres AMK yang dijadual berlangsung di Shah Alam, Selangor, Jumaat ini.
Dr Afif berkata proses pemilihan parti adalah sangat penting untuk menjadi cerminan dan keyakinan kepada masyarakat bahawa PKR sebuah parti yang kuat dan telus.
"Tempoh pemilihan sepanjang tiga bulan ini bukan hanya melelahkan malah mencemar dan merosakkan imej parti terutamanya kepada masyarakat.
"Tugas kita selepas ini untuk kembali menyusun kerangka dan gerak kerja agar dapat mengembalikan keyakinan rakyat dan lebih penting kita nak menyediakan presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk terus maju ke hadapan."
Beliau berkata perubahan proses pemilihan parti itu yang perlu dilihat semula termasuk konsep demokrasi secara terus, sistem 'e-voting', keanggotaan perwakilan dan pencalonan.
Ditanya sama ada cadangan supaya pemilihan dihadkan kepada perwakilan sahaja, Dr Afif berkata perkara itu perlu dibincangkan sebelum keputusan mengenainya dimuktamadkan.
"Ada beberapa konsep yang boleh digunakan dan masih memegang prinsip demokrasi. Ini kerana, pengundi sememangnya ahli PKR tetapi ada daripada mereka mungkin langsung tak pernah terbabit dalam gerak kerja parti.
"Saya yakin PKR agak sukar untuk meneruskan kelangsungan parti kerana akan sentiasa berada dalam keadaan menghadapi kemelut dan konflik tak diingini jika gagal membuat reformasi dalam proses pemilihan," katanya.
-- BERNAMA
#Afif Bahardin #akar umbi #demokrasi #e-voting #kesilapan #majoriti #pemilihan PKR #pengundi #reformasi
;