Ada cuba jadi dalang keruhkan UMNO - Ku Nan

Harits Asyraf Hasnan
November 18, 2015 05:41 MYT
Tengku Adnan menegaskan, beliau sebagai individu bertanggungjawab di dalam parti itu akan membuat siasatan menyeluruh berkenaan tindakan tersebut. - Gambar Fail
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata terdapat pihak yang cuba menjadi dalang dan cuba mengeruhkan parti itu.
Malah, Tengku Adnan juga gusar jika ada dalang yang cuba untuk melemahkan UMNO termasuk Barisan Nasional (BN) susulan tindakan UMNO Sepang semalam yang meminta Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak untuk melepaskan kedua-dua jawatan tersebut.
"Ini masalahnya kita takut ada dalang-dalang yang ingin melemahkan parti kami yang utuh dan kuat.
"Kita ada lebih kurang 25,000 cawangan, 30 cawangan ini pun kita tidak tahu siapa punya cawangan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Justeru, Tengku Adnan menegaskan, beliau sebagai individu yang bertanggungjawab di dalam parti itu akan membuat siasatan menyeluruh berkenaan tindakan tersebut.
Mengulas mengenai tuntutan sama yang dibuat UMNO Teluk Kemang pada Oktober lalu, Tengku Adnan berkata pihaknya telah memulakan siasatan berhubung perkara tersebut.
"Kita sudah tulis surat. Dia kata dia pun dulu mula-mula beri jumlah begini, akhirnya bila kita siasat, yang kata tidak tahu pun ada, yang sengaja hadir pun ada, yang tidak tahu apa yang dibincangkan dalam mesyuarat pun ada, dia panggil sahaja. Ini jadi masalah.
"Jadi kita siasat, kita sudah tulis surat kepada bahagian, bahagian sendiri sudah maklumkan kepada Ibu Pejabat UMNO bahawa daripada jumlah yang disebut (sebelum ini) tidak ada pun, bukan semua," katanya.
Beliau juga percaya Najib masih lagi mempunyai mendapat sokongan penuh daripada semua ahli-ahli UMNO.
#Tengku Adnan #UMNO