Ada ahli politik tidak faham institusi raja - Sultan Selangor

Astro Awani
September 26, 2014 18:10 MYT
SULTAN SELANGOR: Ada ahli politik tidak faham institusi raja - Foto Fail
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah ada ahli politik yang tidak faham akan peranan dan kuasa institusi raja kerana mempunyai agenda yang lain.
Titah baginda, negeri Selangor sentiasa berpandukan pemerintahan dengan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor yang telah dimeteraikan pada tahun 1959.
"Oleh kerana rakyat tidak diberi kefahaman akan fungsi sebenar Sultan, rakyat beranggapan institusi raja itu adalah sebagai lambang sahaja tanpa mempunyai apa-apa peranan dan kuasa yang diperuntukkan dibawah Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor.
"Beta dapati ada ahli politik yang tidak faham akan peranan dan kuasa Institusi Raja atau mereka sengaja tidak memahaminya kerana Beta yakin mereka mempunyai agenda yang lain.
"Rakyat Negeri Selangor yang berbilang kaum dan berbilang agama serta mempunyai pelbagai adat resam mahukan Negeri Selangor ini aman dan makmur, bebas mengamalkan agama masing-masing serta dapat hidup dalam tenteram dan harmoni," titah baginda semasa Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Ikrar Aku Janji serta Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Exco di Istana Alam Shah, Klang, hari ini.
Titah baginda, punca kekalutan politik negeri itu adalah disebabkan Langkah Kajang yang diilhamkan PKR.
Titah baginda, ia sekali gus menimbulkan pelbagai hasutan dan tohmahan yang memburukkan Menteri Besar Selangor pada masa itu, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim supaya diturunkan jawatan.
Titah baginda lagi, perkara negatif itu tetap berterusan walaupun pada bulan Ramadan di mana umat Islam seharusnya membuat ibadah pada masa berkenaan.
"Beta telah menyeru dan mengingatkan beberapa kali, rakyat Melayu beragama Islam di Negeri Selangor ini supaya di bulan Ramadhan yang mulia ini hendaklah sentiasa bertaqwa kepada Allah dan melakukan amal jariah kita supaya diterima Allah.
"Tetapi PKR tetap meneruskan agenda mereka walaupun dalam bulan suci Ramadhan dengan terus menghina.
"Dengan ini timbullah pelbagai hasutan dan tohmahan untuk memburukkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim supaya dapat diturunkan daripada jawatan Menteri Besar Selangor," titah baginda.
Titah baginda lagi, pelantikan Exco baru adalah disebabkan PKR serta DAP yang tidak mempunyai kepercayaan lagi kepada Abdul Khalid selain menyifatkan pelantikan menteri besar yang baharu beserta barisan exco perlu dilantik untuk mentadbir negeri.
"Krisis yang berlaku berkenaan dengan Menteri Besar Selangor ini telah membuka mata dan hati serta pandangan Beta terhadap politik di Negeri Selangor ini.
"Ahli-ahli politik datang dan pergi, mereka akan berkhidmat untuk selama lima tahun dan mungkin akan diganti pada pilihanraya yang akan datang," titah baginda.
Baginda turut bertitah, kedudukan baginda sebagai Sultan yang memerintah Negeri Selangor akan berterusan sehingga akhir hayat Beta.
Tegas baginda, sebagai Sultan yang memerintah, tugas-tugas baginda amatlah berat untuk memastikan rakyat Selangor dapat menikmati hidup yang berkualiti dan pembangunan yang sempurna.
"Beta tidak campur tangan dalam pentadbiran Negeri yang dijalankan oleh Menteri Besar.
"Beta hanya menasihatkan Menteri Besar jika terdapat sesuatu perkara yang boleh menyusahkan rakyat," titah baginda.
#baginda #DAP #Exco #PAS #PKR #politi #RAJA #Selangor #Sultan
;