Acara naik bendera dahului perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2017

Bernama
Disember 7, 2017 09:41 MYT
Najib menaikkan bendera UMNO 'Sang Saka Bangsa' sempena perasmian Perhimpunan Agung UMNO di Plaza Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini. --fotoBERNAMA
Majlis perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2017 dimulakan dengan pemeriksaan perbarisan dan acara menaikkan bendera UMNO di Plaza Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Presiden UMNO, tiba pada pukul 8.45 pagi bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan disambut Ketua Pergerakan Wanita Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil; Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin dan Ketua Puteri Datuk Mas Ermieyati Samsudin.
Najib kemudian diiringi Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama-sama Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor ke pentas khas untuk menerima tabik hormat daripada komander perbarisan, Komander Mohd Irwan Ismail berserta 150 anggota ketiga-tiga sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO.
Najib selepas itu menaikkan bendera UMNO 'Sang Saka Bangsa' dengan diiringi nyanyian lagu UMNO, 'Bersatu, Bersetia, Berkhidmat' oleh anggota parti dan hadirin yang menyaksikan acara itu.
Selesai acara berkenaan, Najib ke Dewan Merdeka bagi menyampaikan ucapan dasar Presiden sekali gus merasmikan perhimpunan parti berusia 71 tahun itu.
Sebelum perasmian, Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin diberi penghormatan untuk memulakan acara perbarisan di Dewan Merdeka yang disertai 50 anggota perwakilan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri.
-- BERNAMA
#bendera #Najib Razak #pemeriksaan perbarisan #Perhimpunan Agung UMNO #UMNO #UMNO 4 0
;