Abdul Khalid tidak tolak kemungkinan bubar DUN Selangor

Bernama
Ogos 15, 2014 20:58 MYT
Keputusan akan diambil setelah Khalid (gambar) mendapat nasihat dan perkenan Sultan Selangor - Gambar Fail
Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak menolak kemungkinan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai langkah menyelesaikan krisis kepimpinan yang melanda negeri itu.
Bagaimanapun, beliau berkata segala keputusan akan diambil setelah beliau mendapat nasihat dan perkenan Sultan Selangor.
"Itu (semua keputusan termasuk bubar DUN) perlu dibincangkan dengan Sultan terlebih dahulu," katanya kepada pemberita pada majlis tahlil dan doa selamat sempena ulang tahun ke-50 Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Masjid Negeri di sini, malam ini.
Abdul Khalid enggan mengulas ketika ditanya sama ada beliau berbincang dengan empat anggota exco kerajaan negeri daripada PAS untuk membubarkan DUN pada November ini.
Semalam, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mendakwa mendapat sokongan majoriti 30 Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Rakyat termasuk dirinya dan dua Adun PAS iaitu Saari Sungib (Hulu Klang) dan Hasnul Baharuddin (Morib), untuk dilantik sebagai menteri besar yang baharu.
Dr Wan Azizah, yang juga Adun Kajang, mendakwa 30 Adun termasuk Saari dan Hasnul menyatakan hilang kepercayaan terhadap Abdul Khalid sebagai menteri besar.
Kedudukan terkini DUN Selangor yang memiliki 56 kerusi ialah PAS dan DAP masing-masing memiliki 15 kerusi, PKR (13), Barisan Nasional (12) dan Bebas (1).
#Dr Wan Azizah Wan Ismail #Khalid Ibrahim #Menteri Besar #Pakatan Rakyat #PAS #Selangor #Sultan Sharafuddin Idris Shah #UMNO
;