Abdul Hadi kekal Presiden Pas

Bernama
Oktober 22, 2023 06:06 MYT
Ahli Parlimen Marang Tan Sri Abdul Hadi Awang kekal sebagai Presiden Pas. - Gambar fail
SHAH ALAM: Ahli Parlimen Marang Tan Sri Abdul Hadi Awang kekal sebagai Presiden Pas selepas diumumkan menang tanpa bertanding dalam pemilihan jawatankuasa tertinggi parti itu bagi sesi 2023-2025.
Turut mengekalkan jawatan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man selaku Timbalan Presiden dan tiga Naib Presiden iaitu Datuk Idris Ahmad, Datuk Mohd Amar Abdullah dan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga menang tanpa bertanding.
Perkara itu diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Muktamar Pas Datuk Dr Abdul Halim Tamuri pada Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-69 yang berlangsung di sini hari ini.
Abdul Hadi, 76, menduduki kerusi Presiden Pas sejak dipilih memangku jawatan itu pada 2003 sebelum disahkan ke jawatan berkenaan dalam muktamar pada 2005.
Sementara itu, Menteri Besari Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menduduki senarai teratas daripada 18 Ahli Jawatankuasa Pas Pusat dengan memperoleh undi tertinggi sebanyak 1,098.
Ketua Pemuda Pas bagi penggal lepas, Ahmad Fadhli Shaari pula menjadi muka baharu dipilih ke jawatan tersebut dengan mendapat undi kedua tertinggi sebanyak 1,042.
Berikut ialah senarai penuh AJK Pas Pusat bagi sesi 2023-2025:
1. Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor
2. Ahmad Fadhli Shaari
3. Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi
4. Dr Azman Ibrahim
5. Dr Halimah Ali
6. Khairil Nizam Khirudin
7. Datuk Ahmad Marzuk Shaary
8. Datuk Siti Zailah Mohd Yusof
9. Datuk Awang Hashim
10. Dr Riduan Mohamad Nor
11. Datuk Ahmad Amzad Hashim @ Mohammad
12. Datuk Mohd Nassuruddin Daud
13. Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan
14. Kamaruzaman Mohamad
15. Dr Najihatussalehah Ahmad
16. Misbahul Munir Masduki
17. Datuk Iskandar Abdul Samad
18. Dr Rosni Adam
-- BERNAMA
#Muktamar Pas #Abdul Hadi Awang #Presiden Pas #menang tanpa bertanding