Abdul Hadi kekal Ahli Parlimen Marang

Sinar Harian
November 15, 2023 15:44 MYT
Pada pilihan raya tersebut, Abdul Hadi (kanan) memenangi kerusi Parlimen Marang dengan majoriti 41,729 undi menewaskan Jasmira, calon Pakatan Harapan (PH) Azhar Ab Shukur dan calon Pejuang, Dr Zarawi Sulong. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini pada Rabu memutuskan Tan Sri Abdul Hadi Awang kekal sebagai Ahli Parlimen Marang.
Keputusan sebulat suara itu ditetapkan panel tiga hakim, dipengerusikan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim selepas menolak rayuan bekas calon Barisan Nasional (BN), Jasmira Othman, yang mendakwa Presiden Pas itu menyogok pengundi menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
Ketika membaca keputusan penghakimannya, Abang Iskandar berkata, Jasmira selaku perayu gagal membuktikan kesnya melampaui keraguan munasabah.
“Justeru, rayuan ini ditolak tanpa sebarang kos,” kata Abang Iskandar yang bersidang bersama Hakim, Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Rhodzariah Bujang.
Semasa prosiding, peguam, Datuk Mohd Hafarizam Harun yang mewakili Jasmira menghujahkan, wujudnya elemen rasuah apabila pihak berkenaan menyampaikan bantuan wang, dua hari sebelum PRU15 dibuat iaitu 19 November 2022.
“Kami tidak menyangkal sumber bantuan berkenaan, namun mempertikaikan julat waktu agihan itu disampaikan kepada hampir 6,286 penerima di kawasan tersebut.
“Meskipun angkanya tidak mencapai nilai majoriti, namun bilangan yang mencecah hampir 7,000 ini masih boleh pengaruhi keputusan pilihan raya,” katanya yang turut memohon agar mahkamah menerima rayuan petisyen ini.
Petisyen pilihan raya itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 3 Januari lepas, antara lain mendakwa Pas menyogok pengundi dengan mengagihkan wang bantuan yang diberikan kerajaan negeri.
Perayu mendakwa perkara itu berlaku menerusi program i-pencen, i-Belia dan i-Siswa, pada 15 hingga 17 November 2022, iaitu beberapa hari menjelang PRU15.
Pada pilihan raya tersebut, Abdul Hadi memenangi kerusi Parlimen Marang dengan majoriti 41,729 undi menewaskan Jasmira, calon Pakatan Harapan (PH) Azhar Ab Shukur dan calon Pejuang, Dr Zarawi Sulong.
*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian
#Abdul Hadi Awang #kekal Ahli Parlimen Marang #Mahkamah Persekutuan #PRU15
;