Abdul Hadi ada niat kerjasama dengan BN - Husam

Astro Awani
November 6, 2015 06:47 MYT
Datuk Seri Abdul Hadi Awang pernah mempunyai niat membentuk kerajaan dengan BN, kata Datuk Husam Musa.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pernah mempunyai niat membentuk kerajaan dengan Barisan Nasional (BN).
Hasrat itu mahu dilaksanakan dengan mengajak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR di Selangor.
Perkara itu didedahkan bekas naib presiden PAS, Datuk Husam Musa.
"Ada wakil rakyat dari PKR maklumkan kepada saya, Presiden PAS menawarkan tempat dalam parti ini, untuk membentuk kerajaan di Selangor
"Wakil rakyat berkenaan juga maklumkan Presiden mengakui ramai yang terlibat, maknanya Presiden pernah ada niat untuk bekerjasama dengan BN," kata Husam dalam satu ceramah di Kota Bharu malam tadi.
Bagaimanapun Husam mendakwa hasrat itu gagal kerana ia tidak mendapat sokongan ADUN PKR Selangor.
Husam turut mendakwa anggota parti PAS pernah ditawarkan tempat dalam kabinet Barisan Nasional.
"Nasharuddin Mat Isa (bekas Timbalan Presiden PAS) pada 2009 pernah mengadakan pertemuan dengan Tun Abdullah Ahmad Badawi,
"Dalam pertemuan itu, PAS ditawarkan tiga jawatan menteri dan tiga jawatan timbalan menteri," kata Husam.
Husam berkata pendedahan ini dibuat bagi memberi gambaran sebenar kepada rakyat berhubung hala tuju kepimpinan Abdul Hadi.
Beliau juga yakin, kredibiliti Abdul Hadi sebagai pemimpin jadi antara punca ramai ahli PAS keluar parti dan menubuhkan parti baru.
#Abdul Hadi Awang #Husam Musa #membentuk kerajaan dengan Barisan Nasional #PAS