Abdul Aziz akan pangku jawatan Ketua UMNO Bahagian Jeli
Bernama
September 19, 2018 13:34 MYT
September 19, 2018 13:34 MYT
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jeli Datuk Abdul Aziz Derashid akan memangku jawatan ketua UMNO Bahagian itu yang dikosongkan selepas penyandangnya Anggota Parlimen Jeli Datuk Seri Mustapa Mohamed mengumumkan keluar daripada UMNO semalam.
Beliau meminta seluruh anggota UMNO bahagian tersebut bertenang dengan tindakan Mustapa itu dan memberi tumpuan kepada perjuangan parti.
"Saya akan bertemu dengan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini bagi membincangkan tindakan Mustapa itu dan langkah-langkah seterusnya yang akan diambil bagi memperkukuhkan parti," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Semalam, Mustapa yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Lanas serta bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, mengumumkan keluar UMNO selepas lebih 40 tahun berkhidmat untuk parti itu susulan hala tuju UMNO kini tidak selari dengan perjuangannya.
Mengulas perkara sama, Veteran UMNO Kelantan tidak menjangka pemimpin 'besar' seperti Mustapa boleh meninggalkan UMNO tanpa menunjukkan tanda-tanda lebih awal beliau mahu berbuat demikian.
Pengerusinya Datuk Mohd Rozali Isohak berkata veteran terkejut dengan tindakan bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan itu namun menghormati pendiriannya.
"Veteran UMNO Kelantan berpandangan tindakan Mustapa itu tidak sesuai ketika parti kini sedang menghadapi masalah besar," katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohd Rozali yang juga Yang Dipertua Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Kelantan, berkata walaupun tindakan Mustapa itu akan memberi sedikit kesan terutama kepada UMNO Kelantan namun beliau yakin majoriti anggota parti tersebut masih teguh dengan perjuangan UMNO.
Sementara itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan Noor Hariri Mohamed Noor berkata tindakan Mustapa yang sinonim dengan panggilan 'Tok Pa' keluar dari UMNO tanpa sebarang perbincangan adalah amat tidak masuk akal dan tidak seharusnya berlaku ke atas pemimpin yang imejnya dilihat sangat berintegriti tinggi.
"Pemuda mendesak Tok Pa untuk turut meletakkan jawatan sebagai Anggota Parlimen Jeli dan Adun Air Lanas yang beliau menangi menggunakan tiket BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 yang lalu. Ini sepatutnya 'pakej' tindakan yang harus dibuat oleh Tok Pa.
"Pemuda tidak mahu dilihat emosional dengan desakan ini, sebaliknya kita mempertahankan hak pengundi di Parlimen Jeli dan DUN Air Lanas yang mengundi Mustapa atas tiket Barisan Nasional," katanya.
Beliau berkata pihaknya akan mengadakan siri jelajah ke seluruh pelusuk negeri ini bagi menjelaskan situasi semasa politik Kelantan kepada seluruh jentera akar umbi supaya anggota UMNO tidak hilang arah dan terus jelas dengan visi perjuangan UMNO.
#Abdul Aziz Derashid
#akar umbi
#Barisan Nasional
#hala tuju parti
#jelajah
#jeli
#keluar parti
#ketua bahagian
#letak jawatan
#Mohd Rozali Isohak
#Mustapa Mohamed
#Noor Hariri Mohamed Noor
#pemangku
#Pemuda UMNO
#tidak masuk akal
#UMNO