Abang Johari sindir pihak cuba 'pancing' sokongan jadi PM

Astro Awani
Jun 30, 2020 20:43 MYT
Abang Johari lebih berminat beri tumpuan membangunkan negeri berbanding melayan pihak yang berebut jawatan - Foto Astro AWANI
Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg tidak menafikan ada pemimpin parti politik yang ingin bertemunya bagi mendapatkan sokongan bagi memilih individu tertentu sebagai perdana menteri.
Bagaimanapun Presiden Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu tidak mahu terlibat dalam perebutan jawatan berkenaan sebaliknya beri tumpuan kepada usaha membangunkan dan mensejahterakan rakyat negeri itu.
“Orang lain sibuk bergaduh nak jadi perdana menteri sampai nama saya pun terkait, mereka berebut nak berjumpa saya. Tak habis-habis. Sudah-sudahlah.
“Yang kita fokuskan adalah urusan pembangunan negeri,” katanya ketika ditemui di majlis pecah tanah projek jalan Sungai Maong ke Segedup di Kuching pada Selasa.
Tambahnya, isu menangani cabaran dihadapi negara ketika ini lebih penting daripada siapa perdana menteri yang seterusnya.
"Bagi saya isu jawatan perdana menteri perkara kedua penting. Apa yang kita perlukan sekarang ialah kerajaan yang stabil di peringkat Persekutuan.
"Sekarang negara berdepan banyak cabaran. Pandemik COVID-19 belum selesai, kedua, ekonomi kita. Jadi kita memerlukan kepimpinan yang sangat fokus untuk mengurus semua masalah ini," ujarnya.
Abang Johari berkata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin harus diberi kepercayaan memimpin negara dan beliau telah melakukan yang terbaik ketika negara berdepan cabaran sukar ketika ini.
#Abang Johari #AWANI Sarawak #Ketua Menteri Sarawak #parti politik #pemimpin #Perdana Menteri #politik #Sarawak
;