8,000 keahlian baharu sejak pelancaran '#JomdaftarPemuda' - Azwan Bro

Astro Awani
Februari 27, 2015 14:31 MYT
AZWAN BRO: 8,000 keahlian baharu sejak pelancaran '#JomdaftarPemuda.' -Gambar fail
Lebih 8,000 anak muda menyertai Pergerakan Pemuda UMNO dalam masa dua minggu sejak pelancaran kempen '#JomDaftarPemuda' pada 13 Februari lepas.

Naib Ketua Pergerakan Pemuda, Khairul Azwan Harun berkata, kempen yang digerakkan Biro Keahlian dan Daftar Pemilih Pemuda itu turut mensasarkan sebanyak 120,000 anak muda menyertai sayap parti itu sebelum akhir tahun ini.

"Ini sejajar dengan hasrat Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin untuk menjadikan pergerakan Pemuda lebih memahami denyut nadi anak muda dengan membuka seluas-luasnya ruang bagi mereka menyertai UMNO," katanya ketika menghubungi Astro AWANI di sini hari ini.

Sebelum ini, Khairy dilaporkan berkata, Pemuda di peringkat pusat, negeri dan cawangan perlu melaksanakan usaha merekrut keanggotaan baharu berkenaan secara berterusan sehingga menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Tegas Khairy, Pemuda juga perlu bijak menarik minat golongan muda untuk berkongsi aspirasi perjuangan dengan pergerakan itu bagi memastikan hala tuju belia di Malaysia seiring dengan hala tuju parti sendiri.

Dalam pada itu kata Khairul Azwan, Pemuda juga sudah menyegarkan jentera dengan kempen dan langkah proaktif pendaftaran ahli baru yang dijalankan secara besar-besaran.

"Kita ambil iktibar dari hasrat pemimpin akar umbi untuk melihat peremajaan di dalam parti.

"Dengan gerak kerja yang tersusun dan realistik termasuk jangkaan 9,000 ahli baru pada penghujung Februari ini, Biro Keahlian dan Daftar Pemilih yakin sasaran 120,000 ahli baru dapat dicapai menjelang penghujung tahun 2015," jelasnya.

Isu peremajaan adalah antara topik yang hangat pada Perhimpunan Agung UMNO 2014.

Ia turut mendapat pelbagai respon positif di media sosial pada ketika itu.

Ramai yang menyambut baik cadangan itu terutama sekali dalam meremajakan pemikiran ahli UMNO dari semua generasi.

#Azwan Bro #JomDaftarPemuda #kempen daftar ahli #KHAIRY #Pemuda UMNO #PRU #rekrut