70 peratus rakyat tidak peduli tentang peralihan kuasa - Kajian
Astro Awani
Januari 2, 2020 22:07 MYT
Januari 2, 2020 22:07 MYT
Tujuh puluh peratus daripada rakyat Malaysia tidak memberi perhatian khusus kepada isu peralihan kuasa dalam kerajaan yang diterajui Pakatan Harapan.
Keputusan ini diperolehi menerusi kajian yang dilakukan Kumpulan KRA pada November lepas.
Pengarah Strategi mereka, Amir Fareed Rahim berkata ini kerana rakyat lebih memberi perhatian kepada isu berkaitan kos sara hidup mereka.
"Namun, jika mereka mendalami isu peralihan kuasa ini, mungkin mereka akan sedar bahawa peralihan kuasa di atas mungkin akan membawa perubahan polisi yang lebih memanfaatkan mereka.
"Walau bagaimanapun, rakyat tidak melihat isu ini sedemikian. Mereka melihat polisi Pakatan Harapan secara keseluruhan, bukan sahaja siapa berada di atas," katanya dalam sesi temubual Consider This di Astro AWANI pada Khamis malam.
Beliau ditanya tentang isu-isu yang dihadapi kerajaan Pakatan Harapan pada tahun 2020.
Antara isu yang menjadi perkara utama adalah tempoh peralihan jawatan Perdana Menteri dari Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dr Mahathir telah dilaporkan berkata bahawa penyerahan jawatan itu tidak akan berlaku sebelum sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) yang akan menyaksikan Malaysia menjadi tuan rumah pada November 2020.