7 individu guna kad pengenalan palsu dalam pemilihan cawangan Bersatu
Bernama
Mac 15, 2020 05:52 MYT
Mac 15, 2020 05:52 MYT
Jawatankuasa Pemilihan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor membuat laporan polis selepas mendapati tujuh individu menggunakan kad pengenalan palsu dalam pengundian pemilihan Bersatu cawangan Pandamaran, dekat sini, pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Shamsul Amar Ramli berkata laporan polis berkenaan dibuat oleh wakil jawatankuasa berkenaan.
Katanya, pengadu mendapati terdapat tujuh individu telah mengemukakan kad pengenalan yang menggunakan nombor dan nama yang palsu pada sesi pemilihan Bersatu cawangan Pandamaran petang tadi.
"Kes disiasat dibawah Sek. 419 KK (Menipu dengan jalan samaran)," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Sementara itu, menurut sumber parti berkenaan, perbuatan mengundi menggunakan kad pengenalan palsu itu berjaya dikesan sewaktu pemberian kertas undi.
"Individu ini menggunakan kad pengenalan yang palsu, kad pengenalan tertera nama orang lain yang dilekatkan di atas kad pengenalan tersebut," katanya.
-- BERNAMA
#Jawatankuasa Pemilihan
#Kad pengenalan palsu
#Klang
#PPBM
#sesi pemilihan Bersatu
#Shamsul Amar Ramli