Seramai 7,129 anggota keselamatan di seluruh Terengganu menunaikan tanggungjawab mereka mengundi awal di kesemua 35 saluran mengundi yang dibuka seawal jam 8 pagi ini.

Menurut Ketua Polis Terengganu Datuk Aidi Ismail, kesemua anggota polis di negeri itu perlu menunaikan pengundian awal sebaik sahaja pusat mengundi awal dibuka.

Beliau juga menegaskan semua anggota mempunyai hak untuk memilih calon atau parti yang bertanding.

"Tidak pernah mana-mana arahan dikeluarkan atau pengaruhi mana-mana anggota untuk memilih siapa atau parti mana. Ia terpulang kepada anggota itu sendiri siapa yang mereka hendak pilih atau parti mana.

"Hari ini adalah hak mereka untuk memilih dan mengundi. Biarlah mereka membuat keputusan mereka sendiri," katanya ketika ditemui di Pusat Pengundian Awal di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu.

Beliau yang turut menyertai anggota keselamatan lain menunaikan undian awal di pusat mengundi awal di IPK Terengganu kira-kira jam 8 pagi tadi.


Pegawai dan anggota polis Terengganu menunaikan tanggungjawab membuang undi awal.