68 peratus puas hati Anwar sebagai PM - Kaji selidik Merdeka Center

Umavathi Ramayah
Februari 10, 2023 17:44 MYT
Anwar Ibrahim terus menjadi tokoh pilihan rakyat dengan kadar penerimaan 68 peratus berdasarkan kaji selidik yang dijalankan Merdeka Center. - Foto fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim terus menjadi tokoh pilihan rakyat dengan kadar penerimaan 68 peratus berdasarkan kaji selidik yang dijalankan firma tinjauan pendapat awam, Merdeka Center.
Kaji selidik yang dijalankan bermula 26 Disember 2022 hingga 15 Januari lalu itu melibatkan 1,209 responden iaitu 52 peratus Melayu, Cina (29 peratus), India,, Bumiputera Islam dan Bumiputera bukan Islam, masing-masing enam peratus, dengan proses pengumpulan data dilakukan menerusi panggilan telefon.
Menurut kenyataan Merdeka Center, sebanyak 91 peratus daripada responden berbangsa India menyatakan sokongan kepada Ahli Parlimen Tambun, sementara Cina (73 peratus), Sabah, Sarawak dan Bumiputera (70 peratus) dan Melayu (60 peratus).
"Berdasarkan kajian itu, hanya 20 peratus daripada responden menyatakan tidak berpuas hati dengan prestasi Perdana Menteri ke-10 itu," katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.
Tinjauan yang sama juga menyaksikan 54 peratus pengundi berpuas hati terhadap prestasi Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar.
Daripada jumlah responden 67 peratus adalah dari kalangan responden India, Cina (65 peratus), Melayu (48 peratus), Bumiputera bukan Islam (42 peratus) dan Bumiputera Islam (39 peratus).
Hanya 25 peratus yang menyatakan ketidakpuasan terhadap kerajaan baharu itu.
Dalam perkembangan sama, 66 peratus responden menerima keputusan Barisan Nasional (BN) untuk menyertai Kerajaan Perpaduan di bawah pimpihan Pakatan Harapan (PH).
Sementara 75 peratus responden pula menyatakan mereka menerima keputusan Perikatan Nasional (PN) untuk kekal sebagai pembangkang.
Dalam pada itu, 48 peratus daripada responden berpendapat bahawa Malaysia berada di landasan yang betul berbanding 20 peratus responden pada kajian sama Oktober lalu.
Tambah Merdeka Centre, majoriti besar iaitu 79 peratus responden menyambut baik keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang diadakan pada November lalu.
Pada masa yang sama, responden turut dikemukakan beberapa perkembangan lain termasuk isu pelantikan dan kestabilan politik.
Sebanyak 83 peratus responden menyatakan mereka menjunjung kasih atas titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang telah berkenan melantik Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10.
"Sementara itu 77 peratus percaya bahawa Kerajaan Perpaduan dapat mewujudkan kestabilan dan keterangkuman dalam politik negara," ujarnya.
Pusat kajian itu memberitahu, keengganan suku responden memberi pandangan menunjukkan orang ramai mengambil sikap berhati-hati selepas negara berdepan dengan ketidaktentuan politik.
#kaji selidik #merdeka centre #Anwar Ibrahim #responden
;