60 tahun perjuang nasib Melayu, apa hasilnya? - Anwar Ibrahim

Madiha Abdullah
Ogos 27, 2022 22:05 MYT
Anwar berkata, tanggapan dan fahaman perkauman sempit masih melingkari politik sehingga usaha membawa kemajuan yang adil kepada semua lapisan masyarakat terhalang.- fotoBERNAMA
SHAH ALAM: Politik bukan tempat percaturan kuasa golongan elit tetapi merupakan medium untuk mengangkat martabat rakyat dengan adil.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tanggapan dan fahaman perkauman sempit masih melingkari situasi politik sehingga usaha membawa kemajuan yang adil kepada semua lapisan masyarakat sukar direalisasikan.
"Sebab itu 'perang' dengan (terhadap) konsep assabiah atau fahaman perkauman sempit itu dilakukan oleh Rasulullah SAW sendiri. Apa ciri masyarakat jahiliah? Kalau kaum kita rasuah, kaum kita zalim, tak mengapa sebab dia dari kaum kita. Yang rasuah mesti kaum lain dan zalim mesti kaum lain.
"Inilah yang dikatakan meleburkan fahaman perkauman sempit. Tetapi itu 1,400 tahun yang lalu, berdakwah, menjelajah seluruh ke negara di setiap masjid dan surau.
"Tetapi sehingga hari ini kefahaman tentang apa erti keadilan, apa erti kemanusiaan, apa erti rahmah masih tidak dapat diperjelaskan kerana terpukau dengan faham perkauman.
"Kita perlu berdepan dengan masyarakat dengan konsep etika dan akhlak serta pembelaan kepada semua termasuk orang Melayu, kita gerak dengan yakin.
"Cuba tanya pihak yang bercakap tentang memperjuangkan nasib Melayu, 60 tahun berkuasa, mana tanah rizab Melayu? Apa jadi dengan Felda? Apa jadi dengan veteran tentera? Apa jadi dengan anak-anak muda?Ada pendidikan tapi tiada pekerjaan... anak-anak muda dalam ekonomi gig?
"Majoritinya Melayu tetapi mudah dipatahkan oleh sentimen perkauman dan janji mereka," katanya menyampaikan amanat pada Konvensyen Pilihan Raya PKR 2022, pada Sabtu.
Beliau menambah, PKR mahu berganjak daripada landasan yang lama dan memberi tumpuan terhadap pembangunan yang adil.
"Kita bukan nak meneruskan agenda yang sama, kita harus berupaya dan berani beralih daripada landasan yang lama.
"Apabila kita sebut kemampanan atau sustanability, ia tidak bermaksud mempertahankan sistem yang ada. Kemampanan itu harus dilihat sebagai suatu amanah, menjamin dasar ekonomi, pastikan ada kelestarian pembangunan tanpa merosakkan.
"Kita bangga dengan pembangunan tetapi gaji dan upah pekerja begini, ramai hidup melarat, kos meningkat tetapi kita bicara tentang kadar pertumbuhan.
"Kemudahan dan insentif yang diberi kepada syarikat-syarikat besar kita sebut insentif tetapi orang miskin kita sebut subsidi. Mengapa dibezakan antara keperluan syarikat-syarikat konglomerat besar dan kecil?," katanya.
Ujarnya lagi, negara tidak mampan dan tidak selamat jika sistem pengurusan menjadi kucar-kacir disebabkan oleh pemimpin tidak amanah.
#Anwar Ibrahim #PKR #Melayu #pilihan raya
;