60 penduduk termasuk anggota UMNO serah borang sertai Bersatu
Bernama
Disember 23, 2018 06:10 MYT
Disember 23, 2018 06:10 MYT
Seramai 60 penduduk termasuk beberapa anggota UMNO Kampung Ketior, Manong, di sini, menyerahkan borang menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kepada Ketua Bahagian Bersatu Kuala Kangsar Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Hamid pada Ahad.
Penyerahan borang itu diketuai Ketua UMNO cawangan kampung itu Omar Shafiee.
Omar berkata dia rela hati menyertai Bersatu kerana kagum dengan kepimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan bukan dipaksa oleh mana-mana pihak atau individu.
"Tun M dengan kepimpinannya menyatukan orang Melayu dan rakyat negara ini," katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan borang menyertai Bersatu di sini semalam.
Sementara itu, Iskandar Dzulkarnain berkata mereka membuat keputusan itu setelah hilang keyakinan kepada UMNO dan percaya dengan perjuangan Bersatu dalam membanteras rasuah dan penyelewengan.
"Mereka yakin dengan kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad seorang negarawan yang disegani lagi dihormati," katanya.
-- BERNAMA