45 ADUN Kelantan angkat sumpah jawatan hari ini

Bernama
September 5, 2023 12:04 MYT
Seramai 45 wakil rakyat secara rasmi mengangkat sumpah sebagai ADUN Kelantan bagi penggal ke-15 pada Selasa. - Foto Sinar Harian
KOTA BHARU: Sebanyak 45 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelantan mengangkat sumpah jawatan pada Mesyuarat Pertama bagi Penggal Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri Kelantan Yang Ke-15 di Kota Darulnaim, di sini hari ini.
Majlis angkat sumpah di hadapan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) yang baharu dilantik Datuk Mohd Amar Nik Abdullah didahului oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud (Pas-Meranti) diikuti dengan sembilan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).
Terdahulu, Mohd Nassuruddin mengemukakan nama Mohd Amar (Pas-Panchor) sebagai Speaker DUN Kelantan dan Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi (Bersatu-Kok Lanas) sebagai Timbalan Speaker sebelum disokong Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan (Pas-Temangan) yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan.
Majlis angkat sumpah diteruskan dengan bekas Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob (Pas-Pasir Pekan); diikuti bekas Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Negeri Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat (Pas-Pengkalan Kubor).
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kelantan, Pas dan rakan gabungannya dalam Perikatan Nasional (PN) iaitu Bersatu berjaya membentuk kerajaan negeri di Kelantan apabila menang 43 daripada 45 kerusi DUN.
-- BERNAMA
#ADUN Kelantan #angkat sumpah #Mohd Amar Nik Abdullah #PRK Kelantan
;