300 penyokong Harapan isytihar sokong calon BN di Manong

Nazialita Geynna Maharan
Mei 8, 2018 09:22 MYT
Wakil ahli dan penyokong Pakatan Harapan yang menyatakan sokongan kepada calon BN di Manong pada satu sidang media pada Isnin. - Astro AWANI
Kira-kira 300 penyokong Pakatan Harapan dari Kampung Suak Petai, di sini, menzahirkan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) selepas kecewa dengan parti pembangkang yang didakwa mereka tidak begitu mengutamakan rakyat.
Jurucakap, Nordin Mat Diah, 53 tahun, berkata, mereka hilang kepercayaan dengan pemimpin pembangkang di kawasan itu kerana gerak kerja pihak itu dilihat tidak lagi bersemangat seperti dulu.
Mereka turut menafikan dakwaan kononnya berubah sokongan kerana menerima ‘dedak’, sebaliknya melahirkan kekecewaan kerana parti pembangkang yang disokong seakan melebihkan pihak lain berbanding rakyat.
“Saya mewakili 40 ahli dan kira-kira 300 penyokong menyatakan sokongan kepada calon BN di Manong, Mohamad Zuraimi Razali, dan calon Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid.
“Saya dapat lihat gerak kerja di kampung kami memang suram. Masa awal-awal dulu memang bagus, nampak pengaruh pun banyak, tetapi sekarang dah berubah.
“Kami sudah mula nampak suara-suara kami tak diterima pakai, rungutan masyarakat pun tidak diambil tindakan. Mereka banyak pentingkan pihak lain daripada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada satu sidang media khas di Pusat Gerakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Manong, di sini, malam tadi.
Turut hadir, Mohamad Zuraimi dan Pemangku Ketua UMNO Bahagian Kuala Kangsar, Datuk Mohamad Kamil Shafie.
Dalam pada itu, Mohamad Zuraimi gembira dengan perkembangan tersebut dan merasakan ia satu sejarah baru buat DUN tersebut.
“Ini merupakan malam bersejarah dan detik yang tidak dijangka. Tak pernah terlintas di fikiran saya dan saya bersyukur atas komitmen diberikan rakan-rakan baru kita.
“Terima kasih kerana beri sokongan penuh kepada semua calon BN di Manong dan Kuala Kangsar,” ujarnya.
Kerusi DUN Manong bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru melibatkan Mohamad Zuraimi, Jamil Dzulkarnain (Pas) dan Mohamad Isa Jaafar (PKR-Bersatu).
Penyandangnya, Mohamad Kamil, tidak dicalonkan dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) ini selepas menang dengan majoriti 231 undi pada PRU13.
#Barisan Nasional #calon #dedak #DUN Manong #Kuala Kangsar #MalaysiaMemilih #Mohamad Zuraimi Razali #Nordin Mat Diah #Pakatan Harapan #Parlimen Kuala Kangsar #pembangkang #pilihan raya umum #PRU14 #sokongan #UMNO
;