3,195 cawangan MIC seluruh negara serah borang pencalonan sehingga Ahad
Bernama
Julai 13, 2015 08:00 MYT
Julai 13, 2015 08:00 MYT
Sebanyak 3,195 cawangan telah menghantar pencalonan bagi pemilihan peringkat cawangan MIC sepanjang tempoh tiga hari pencalonan yang bermula Jumaat hingga petang ini, kata Pemangku Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam.
Beliau berkata jumlah itu mewakili 75 peratus daripada keseluruhan 3,970 cawangan yang ada dan beliau berpuas hati terhadap pencalonan yang dilakukan oleh semua cawangan yang layak membuat pemilihan.
"Sebanyak 785 cawangan pula tidak boleh mengambil bahagian dalam pemilihan peringkat cawangan atas pelbagai sebab termasuk cawangan tidak sah yang ditubuhkan pada 2013 dan ada di antara cawangan yang telah luput," katanya kepada pemberita pada sesi pencalonan peringkat Selangor di sini pada Ahad.
Beliau berkata jumlah muktamad keseluruhan pencalonan akan diumumkan pada Isnin memandangkan terdapat negeri-negeri yang masih menjalankan proses pencalonan sehingga lewat petang Ahad.
Katanya proses pencalonan di seluruh negara berjalan lancar dengan semua cawangan memberikan kerjasama yang baik walaupun pemilihan diadakan dalam situasi politik parti yang mencabar.
"Kami gembira, anggota MIC telah menunjukkan sikap yang matang dalam mengambil bahagian dalam pemilihan ini, dalam suasana kebersamaan untuk masa depan parti, kerana ia adalah keadaan yang amat sukar dan pemilihan dijalankan dalam suasana krisis, ini adalah cabaran terbesar.
"Proses pencalonan secara keseluruhan berjalan dengan lancar dan hanya ada dua insiden kecil berlaku di Pulau Pinang dan Kedah," katanya.
Dr Subramaniam yang juga Menteri Kesihatan berkata Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) Interim 2009 akan memberi peluang kepada mana-mana pihak yang ingin membuat bantahan bermula 9 pagi Isnin hingga 1 petang Khamis depan.
"Kalau ada mana-mana cawangan ingin membuat aduan dan disertakan dengan dokumen yang sah mereka boleh membuat bantahan dan akan disiasat oleh Jawatankuasa Resolusi Pertikaian yang telah kita tubuhkan," katanya.
Sementara itu, di Wilayah Persekutuan, ketua koordinator pencalonan MIC Datuk S. Veerasingam berkata sebanyak 170 cawangan daripada keseluruhan 250 cawangan mengemukakan pencalonan hari ini dan hanya tiga cawangan yang menyaksikan pertandingan.
"Semua borang pencalonan dihantar dengan lengkap dan keahlian calon di siasat dan kemudian diiktiraf oleh pegawai koordinasi yg dilantik oleh CWC 2009 sebagai sah," katanya yang turut menerima borang pencalonan dari Naib Presiden MIC Datuk M. Saravanan mewakili cawangan Jalan Raja Muda Abdul Aziz di Kampung Baru, di sini.
Sementara itu, Saravanan berkata pencalonan berjalan lancar dan semua anggota parti di peringkat bawahan menunjukkan kematangan dengan menghantar pencalonan mereka.
"Cawangan yang membuat pencalonan sepanjang tiga hari ini sahaja yang sah, dan mana-mana cawangan yang tidak membuat pencalonan selepas ini masih boleh membuat rayuan kepada CWC dan akan dipertimbangkan," katanya.
Pencalonan bagi peringkat cawangan bagi pemilihan semula MIC itu ialah pada 10, 11 dan 12 Julai diikuti oleh pemilihan cawangan dari 20 hingga 26 Julai, manakala pemilihan presiden dijangka selesai menjelang akhir bulan depan.