288 ahli Bersatu terhenti keahlian serta-merta - Hamzah
Astro Awani
Ogos 14, 2020 21:39 MYT
Ogos 14, 2020 21:39 MYT
Seramai 288 ahli Parti Primbumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan terhenti keahlian mereka berkuatkuasa serta-merta.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, keahlian mereka terhenti berikutan terlibat dalam kumpulan 'blackout' yang didakwa bertujuan menjatuhkan parti serta menyokong bekas pengerusi Tun Dr Mahathir Mohamad.
Jelas beliau, segala aduan dan dakwaan yang diterima telah pun disiasat.
Justeru, katanya senarai nama berkenaan akan dikeluarkan menerusi media akhbar, ketua bahagian parti dan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Bersatu.
"Seperti yang saya pernah jawab baru-baru ini, kita telah pun menyiasat segala apa aduan yang telah diberikan kepada kita dan hari ini akan saya berikan notis kepada semua bahawa ada lebih kurang 288 yang telah kita ambil tindakan dan gugur daripada menjadi ahli parti Bersatu kita
"Saya dah maklumkan ke beberapa media dan kita akan keluarkan ke beberapa media senarai mereka itu dan insya-Allah esok akan keluar notis melalui surat khabar kepada bahagian-bahagian.
"Kita juga akan berikan nama tersebut supaya kalau ada yang menjadi wakil, dia tidak boleh hadir dalam mesyuarat perwakilan bahagian dan begitu juga kepada JPP supaya JPP akan dapat menentukan sama ada mereka boleh hadir ataupun bertanding dan JPP boleh potong nama mereka dari senarai calon-calon yang bertanding," katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelantikan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Acryl Sani Abdullah di Putrajaya, pada Jumaat.
Dalam pada itu, tambahnya Bersatu telah menerima lebih 30,000 permohonan ahli baharu dalam masa dua minggu.
#Bersatu
#blackout
#dihentikan keahlian
#Dr Mahathir Mohamad
#Hamzah Zainudin
#Parti Primbumi Bersatu Malaysia