250 anggota PKR keluar parti di Klang

Bernama
Mac 18, 2018 21:30 MYT
Wakil kumpulan itu yang juga bekas Naib Ketua PKR Cabang Klang, Mohd Fuzi Abd Ranee, 50, berkata mereka berbuat demikian atas kehendak sendiri. - Foto: Facebook Nasarruddin Zin
Seramai 250 anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Klang hari ini bertindak keluar parti kerana mendakwa kecewa dan hilang keyakinan terhadap kepimpinan parti itu dalam menjaga anggota akar umbi terutamanya golongan muda.
Susulan itu, mereka menyerahkan borang permohonan menyertai UMNO kepada Ketua Bahagian Klang Datuk Nasarruddin M. Zin pada satu majlis di Kampung Pendamar di sini.
Wakil kumpulan itu yang juga bekas Naib Ketua PKR Cabang Klang, Mohd Fuzi Abd Ranee, 50, berkata mereka berbuat demikian atas kehendak sendiri setelah PKR gagal memperkasa dan menjaga kebajikan akar umbi terutama golongan muda.
Menyertai PKR sejak 1998, beliau berkata kebanyakan yang keluar parti adalah tenaga penggerak jentera parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).
"Semasa dalam PKR, saya memang memperjuangkan nasib golongan muda, ibu tunggal dan warga emas namun sehingga semasa keluar parti pun, saya tidak nampak sebarang wawasan untuk anak muda dan golongan berkenaan jika terus bersama PKR," katanya kepada pemberita.
Mohd Fuzi berkata setelah diteliti, Barisan Nasional (BN) lebih banyak menjaga kebajikan rakyat dan golongan muda.
-- BERNAMA
#Barisan Nasional #MalaysiaMemilih #nasarruddin zin #Parti Keadilan Rakyat #pilihan raya #PKR #rakyat #UMNO
;